Nasihat Berguna Untuk Pekerja Baharu Menyesuaikan Diri Di Tempat Kerja
Sebagai seorang pekerja baharu, pasti agak kekok dan sukar menyesuaikan diri di tempat kerja baharu kan?
Ia adalah perkara yang wajar bagi pekerja baharu jika merasakan perasaan yang gugup pada minggu pertama di tempat kerja dan pasti banyak cabaran yang akan dihadapi.
Anda pasti akan sentiasa tertanya-tanya dengan diri sendiri, “Bagaimana jika tempat kerja baharu tidak seperti yang dibayangkan?”
Ia adalah perkara yang normal untuk dirasakan bagi manusia biasa, tapi anda jangan risau kerana beberapa nasihat ini pasti akan bermanfaat untuk anda belajar menyesuaikan diri di tempat kerja baharu anda.
Siapa pemberi nasihat paling berkesan di tempat kerja?
Sesiapa sahaja layak memberi nasihat yang baik kepada sesiapa pun, tetapi selalunya golongan profesional berikut yang memberikan nasihat paling banyak dan bermanfaat.
- Penyelia
- Pengurus
- Ketua jabatan
- Rakan sekerja
Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada pekerja baharu?
Jika anda sebagai majikan ataupun rakan sekerja ingin membantu pekerja baharu menyesuaikan diri mereka di tempat kerja, nasihat berikut mungkin boleh membantu mereka.
- Pelajari Persekitaran Kerja Baharu
Sebagai pekerja baharu, luangkanlah masa pada minggu pertama anda di tempat kerja untuk mempelajari hal-hal baharu.
Tapi apa sahaja yang perlu anda pelajari?
Sebenarnya banyak benda yang boleh dipelajari, anda boleh sahaja memerhatikan etika ataupun kod pemakaian pekerja lain, tempat biasa makan tengah hari mereka, dan tingkah laku yang boleh diterima di tempat kerja.
Mungkin anda dibenarkan mendengar muzik menggunakan fon kepala sambil membuat kerja?
Atau mungkin sahaja anda dibenarkan berehat untuk jangka masa tertentu ketika waktu bekerja?
Sebab itu pentingnya meluangkan masa pada minggu pertama di tempat kerja baharu.
2. Luangkan Masa Dengan Pekerja Lain
Rakan sekerja adalah orang yang kita jumpa setiap hari di tempat kerja, takkanlah tak mahu berkenalan dan berkawan kan?
Pada minggu pertama bekerja, anda boleh sahaja meluangkan masa bersama rakan sekerja yang baharu semasa waktu kerja dan waktu rehat.
Sebagai contoh pada waktu rehat bekerja, ajaklah rakan sekerja untuk makan tengah hari bersama, ataupun jika mereka yang mengajak, terimalah dengan hati yang gembira.
Barulah anda boleh mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan rakan sekerja yang baharu, anda pun akan lebih selesa bekerja di pejabat dengan persekitaran yang aman dan harmoni.
Jika anda mempunyai ramai kawan di tempat kerja, komunikasi anda sebagai pekerja baharu dengan rakan sekerja lain pun akan menjadi mudah terutama ketika anda memerlukan sebarang bantuan mengenai pekerjaan anda.
Apa yang paling penting, pastikan anda mengetahui dan mengingat nama-nama rakan sekerja ya!
Barulah mereka akan selesa bersama kita dan mudah berkomunikasi di tempat kerja.
3. Berikan ‘First Impression’ Yang Terbaik
Sebagai pekerja baharu, tunjukkan reputasi anda yang boleh dibanggakan dengan memberi first impression positif kepada pekerja senior di tempat kerja baharu.
Tanggapan pertama sangat penting untuk mendorong orang lain melihat kita sebagai seorang yang mesra, bekerja keras, dan boleh dipercayai.
Bagaimana nak berikan first impression yang baik?
Sebagai pekerja baharu yang datang pertama kali, pakailah pakaian yang kemas dan bersih, datang awal ke tempat kerja, sentiasa senyum ketika bertegur sapa, dan yang paling penting sentiasa menjaga adab dan tatasusila.
Barulah majikan dan orang lain akan senang menerima keberadaan kita di tempat kerja.
4. Libatkan Diri Dalam Mesyuarat
Kebiasaannya, pekerja baharu akan banyak berdiam diri semasa di dalam bilik mesyuarat kerana mungkin belum biasa dengan persekitaran kerja baharu mereka.
Walau bagaimana pun, anda digalakkan untuk menyumbang kepada perbincangan semasa mesyuarat untuk membantu anda mendapatkan tanggapan yang baik oleh majikan dan rakan sekerja.
Anda boleh sahaja memberikan idea, maklum balas, ataupun memberi sokongan kepada idea yang diberikan oleh pekerja lain.
Jika anda sukar untuk memberikan sebarang idea, anda boleh sahaja menanyakan apa-apa soalan yang berkaitan sebelum akhir mesyuarat.
Nampaklah anda sebagai pekerja baharu yang berminat terhadap mesyuarat dan tempat kerja baharu anda.
5. Ringankan Tangan Membantu Orang Lain
Walaupun pekerja baharu masih dalam proses menyesuaikan diri di tempat kerja, anda boleh sahaja membantu rakan sekerja yang lain dengan tugas-tugas yang asas dan ringan contohnya membantu rakan mengangkat fail ataupun dokumen yang banyak.
Nampaklah anda sebagai seorang yang suka membantu walaupun masih baru di tempat kerja tersebut.
Selalunya pengurus projek akan memerlukan beberapa orang pekerja untuk membantu mereka melakukan tugasan, jadi ambillah peluang ini untuk membantu dan melibatkan diri dalam kerja pengurusan.
Dengan membantu seseorang, dapatlah juga anda mempelajari kemahiran baru yang boleh mengasah kemahiran anda.
Selain mendapat kemahiran dan tanggapan yang positif, anda juga akan lebih selesa dan mudah menyesuaikan diri di tempat kerja baharu kerana anda telah mula dikenali oleh pekerja lain.
6. Amalkan Mencatat Nota
Sebagai pekerja baharu, anda akan sering menerima banyak maklumat baharu terutama pada hari pertama bekerja.
Jadi macam mana nak ingat semua benda?
Cara terbaiklah adalah dengan mencatat nota, barulah anda mempunyai catatan sendiri untuk dirujuk kembali sekiranya anda terlupa sesuatu benda.
Bukan pada hari pertama di tempat kerja sahaja, tapi biasakan diri untuk sentiasa mencatat perkara penting seperti tarikh akhir tugasan projek perlu disiapkan, tempat susunan fail dan dokumen, alamat surat-menyurat pejabat, tarikh mesyuarat diadakan, ataupun nama rakan sekerja yang baharu.
Barulah mudah untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baharu.
7. Jangan Segan Meminta Bantuan
Kebanyakan pekerja baharu akan mengelak dan berasa segan dengan pekerja lain terutama ketika ingin meminta bantuan sehingga kesilapan boleh berlaku ketika melakukan kerja.
Jadi, anda jangan segan untuk bertanya kerana mereka pasti bersedia untuk menolong dan menjawab soalan demi menjaga reputasi syarikat mereka.
Apa yang penting adalah anda meminta tolong dengan cara yang sopan dan lemah lembut barulah mereka pun senang hati memberikan tunjuk ajar.
Cara ini boleh membantu anda sebagai pekerja baharu menjadi lebih rapat dengan pekerja senior dan memperoleh keyakinan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang baharu.
Kesimpulannya, walaupun anda seorang pekerja baharu di tempat kerja, bukan menjadi penghalang untuk anda kekal produktif dan menunjukkan prestasi kerja yang baik.
Banyak cara yang anda boleh lakukan supaya cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang baharu.
Jadi, mulakan azam anda yang baru di tempat kerja baharu, cipta hubungan baik dengan majikan dan rakan sekerja, dan lakukan segala tugasan dengan cekap dan amanah ya!