Pengemukaan Borang E & CP8D Dilanjut Hingga 31 Mei Tahun Ini

Tarikh tutup pengemukaan Borang E LHDN

Jika anda belum sempat mengemukakan Borang E dan CP8D ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jangan risau kerana anda masih ada masa untuk berbuat demikian.

LHDN telah mengumumkan bahawa proses pengemukaan Borang E dan CP8D dilanjutkan hingga 31 Mei 2024.

Ambillah peluang ini untuk urusan tersebut.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LHDN baru-baru ini.

LHDN dalam kenyataan menyebut lanjutan itu bagi memberi masa mencukupi kepada individu yang diberi kuasa untuk memohon peranan sebagai pengarah atau majikan sebelum mengemukakan borang berkenaan.

Menurut LHDN panduan berkaitan permohonan peranan itu boleh dirujuk menerusi portal MyTax manakala slaid panduan boleh diakses di https://www.hasil.gov.my.

LHDN turut memaklumkan tambahan masa 15 hari bagi pengemukaan e-Borang untuk individu, perkongsian, pertubuhan dan harta pusaka sementara syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad dan badan amanah (sebulan) dan petroleum (sebulan).

“Pembayar cukai adalah disarankan untuk melapor pendapatan dengan mengemukakan e-Borang dan membuat pembayaran (sekiranya ada) dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelak sebarang penalti dan kenaikan cukai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pembayar cukai juga perlu mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai, sekiranya ada.

— Bernama