Cara Hantar Kereta Ke Sabah Sarawak: Kos & Prosedur

Cara hantar kereta ke Sabah Sarawak info berkaitan jumlah kos penghantara dan prosedur yang anda perlu lalui. Berpindah ke Sabah atau Sarawak? Tahu tak, kereta kesayangan anda boleh diposkan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dengan mudah? Bagi mereka yang tidak tahu cara untuk menghantar kereta ke Sabah dan Sarawak, artikel ini untuk anda.

Kali ini, kami ingin berkongsi cara untuk menghantar kereta dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Sebenarnya info ini juga boleh digunakan untuk penghantaran kereta dari Sabah Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Info ini ditulis sebagai kesinambungan dan maklumat tambahan artikel terdahulu mengenai harga pos kereta ke Sabah Sarawak.

Harap-harap selepas ini anda tidaklah susah hati tidak tahu atau tidak memiliki apa-apa info mengenai urusan tersebut.

Jenis Cara Hantar Kereta Ke Sabah Sarawak

Terdapat beberapa kategori servis menghantar kereta dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Antaranya ialah penghantaran antara pelabuhan (port to port), penghantaran dari rumah ke pelabuhan (door to port), penghantaran dari rumah ke destinasi akhir (door to door) serta penghantaran dari pelabuhan ke destinasi akhir (port to door).

Perkhidmatan port to port sangat popular dan sering menjadi pilihan ramai disebabkan harga pos lebih murah berbanding dengan perkhidmatan lain.

Biasanya kereta akan dihantar dari Port Klang ke pelabuhan utama di Sabah dan Sarawak seperti Miri, Bintulu, Sibu, Labuan dan Sandakan.

Namun, pemilik kenderaan dikehendaki memandu kereta ke pelabuhan Klang serta perlu mengambil kereta dari pelabuhan Sabah atau Sarawak.

Kereta dihantar dari pelabuhan Port Klang ke Sabah dan Sarawak menggunakan kapal feri RORO (Roll-on/ Roll-off).

A. Jadual

Agent shipping mungkin mempunyai jadual yang berlainan berbanding syarikat lain. Contohnya Syarikat Ventura Trans & Services, penghantaran kereta dari port Klang ke pelabuhan utama di Sabah dan Sarawak dilakukan 3 kali sebulan.

Tempoh masa diambil untuk menghantar kereta ialah selama 6 hingga 10 hari.

Syarikat atau agent shipping yang lain mempunyai jadual yang lebih kerap, apa yang penting ialah anda berhubung terus dengan agent-agent tersebut untuk mendapatkan maklumat jadual penghantaran mereka.

B. Harga

Harga penghantaran kereta dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak biasanya bergantung pada jenis dan saiz kenderaan serta destinasi dipilih. Harga penghantaran kereta tidak sama antara syarikat berlainan dan harga ini boleh berubah mengikut musim.

Jadi, anda dinasihatkan untuk menyemak harga dari masa ke masa di laman web syarikat dipilih.

Biasanya kos penghantaran telah merangkumi caj-caj tambahan seperti polisi insurans, pelepasan kastam serta cukai pelabuhan.

Kos Penghantaran Ke Sarawak

Berikut merupakan anggaran harga penghantaran kereta dari Port Klang ke pelabuhan utama di Sarawak. Seperti yang diterangkan tadi harga adalah bergantung kepada proses yang terlibat dan tentu sekali termasuk untung untuk agent yang menguruskan penghantaran kereta anda.

Harga di bawah adalah anggaran sahaja. Syarikat lain mungkin menawarkan harga lebih rendah, mungkin juga lebih tinggi.

Tetapi jangan bimbang kerana ada begitu banyak shipping agent di luar sana, tidak mungkin ada perbezaan harga yang banyak antara mereka.

Kena rajin cari info sebelum buat keputusan agent shipping mana yang anda pilih untuk uruskan penghantaran kereta anda.

a) Kereta “passenger car” seperti Honda City, Vios, Wira dan Axia.

  • Kuching -RM1250
  • Sibu – RM1850
  • Bintulu – RM1900
  • Miri – RM2000

b) Kereta “light commercial car” seperti Alphard, Vellfire, Avanza dan Van

  • Kuching – RM1400
  • Sibu – RM2000
  • Bintulu – RM2050
  • Miri -RM2150

Kos Penghantaran Ke Sabah

Terdapat 5 buah pelabuhan utama di Sabah. Berikut merupakan harga penghantaran kereta dari Port Klang ke pelabuhan utama di Sabah.

a) Kereta “passenger car”

  • Labuan- RM 1600
  • Sandakan- RM 1800
  • Tawau- RM 2000
  • Lahad Datu- RM 1800
  • Kota Kinabalu- RM 1300

b) Kereta “light commercial”.

  • Labuan- RM 1700
  • Sandakan- RM 1900
  • Tawau- RM 2100
  • Lahad Datu- RM 1900
  • Kota Kinabalu- RM 1400

Jika anda ingin berhubungan dengan pelabuhan-pelabuhan yang ada di Sabah dan Sarawak, anda boleh dapatkan maklumat perhubungan di portal Jabatan Laut Malaysia.

Cara Hantar Kereta

Penempahan untuk prosedur menghantar kereta boleh dilakukan dengan mudah di laman web syarikat dipilih. Hubungi syarikat dipilih untuk mendapatkan maklumat penting seperti harga serta tarikh penghantaran.

Perkara yang paling penting ketika melakukan penempahan ialah penyediaan dokumentasi kenderaan. Pastikan anda menghantar dokumen- dokumen penting seperti salinan MyKad, kad pemilikan kereta serta surat dari bank jika kereta anda masih belum habis dibayar kepada syarikat penghantaran melalui emel.

Biasanya, nombor telefon pemilik serta nombor kenderaan dinyatakan sekali sebagai rujukan. Untuk maklumat anda, emel ini perlu dihantar ke syarikat sekurang- kurangnya 4 hari sebelum tarikh penghantaran kereta.

Setelah mendapat pengesahan untuk pos kereta daripada syarikat, anda dikehendaki menghantar kereta dua hari sebelum tarikh penghantaran ke syarikat yang anda pilih atau dapatkan arahan lanjut dari mereka. Pihak syarikat akan menghubungi pemilik kereta setelah berjaya dihantar ke destinasi pilihan.

Pembayaran

Pembayaran perlu dilakukan setelah pemilik kereta menghantar kereta ke pelabuhan Port Klang sebelum tarikh sebenar penghantaran.

Terdapat dua cara untuk melakukan proses pembayaran iaitu melalui online atau secara manual.

Anda boleh melakukan pembayaran terus di pejabat shipping agent pilihan anda. Bagi mereka yang melakukan pembayaran secara online, pastikan anda menghantar slip pembayaran ke syarikat melalui emel syarikat.

Muatan Dalam Kenderaan

Sebenarnya, pelanggan tidak boleh mengambil kesempatan untuk membawa muatan barangan dalam kereta. Namun, perkara ini bergantung pada syarikat dipilih.

Sesetengah membenarkan pelanggan untuk membawa muatan tertentu dalam kereta atas tanggungan sendiri. Oleh itu, pelanggan tidak dibenarkan untuk saman syarikat jika berlaku sebarang kerosakan atau kehilangan barang. Kos untuk membawa muatan lebih tidak akan dikira.

Pelanggan boleh meletakkan muatan di ruang tempat duduk belakang serta bonet. Pastikan muatan yang diletakkan tidak melebihi tempat duduk hadapan di kereta.

Bagi mereka yang membawa barangan peribadi, anda dinasihatkan untuk memasukkan muatan ke dalam kotak atau bag untuk mengelakkan masalah kehilangan barangan. Berat barangan dalam bag atau kotak tidak boleh melebihi 10 kg.

Namun, pelanggan tidak dibenarkan untuk meletakkan muatan yang menyalahi undang- undang, muatan berciri bahaya (mercun dan bahan api), berisiko (telefon, laptop) serta barangan elektrik (mesin basuh dan oven) ke dalam kereta.

Artikel ini akan dikemaskini dari masa ke semasa jika ada info baru.

Semoga perkongsian info mengenai cara hantar kereta ke Sabah Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia ini bermanfaat kepada anda. Mohon like dan share info ini.