Cara Pilih Subjek STPM & Halatuju Selepas Tingkatan 6 Nanti

Tips untuk pilih subjek semasa STPM

Adik-adik yang baru habis SPM dah buat keputusan belum nak sambung apa selepas ni? Mesti ramai adik-adik yang nak sambung ke Tingkatan 6 dan mengambil Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) kan?

Adik-adik boleh memohon ke Tingkatan 6 sehingga berumur 20 tahun.

Kalau adik-adik nak tahu, sijil STPM ni diiktiraf oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Jadi memang tak sia-sia kalau adik-adik menyambung ke Tingkatan 6.

READ: Bagaimana Dapat Kerja Offshore Tanpa Pengalaman?

Subjek-subjek yang ditawarkan dalam STPM

Senarai subjek STPM
Sumber: Portal Rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia
Sumber: Portal Rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia

Bilangan Mata Pelajaran yang Boleh Diambil

  • Maksimum 5 subjek termasuk Pengajian Am.

Untuk memeriksa senarai pakej mata pelajaran STPM yang ditawarkan mengikut negeri, anda boleh semak pautan Kementerian Pendidikan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian berikut:

https://sst6.moe.gov.my/form6/pakejt6.cfm 

Bagaimana nak pilih subjek STPM yang sesuai? 

Apa pun subjek yang adik-adik pilih semasa STPM, ia akan mempengaruhi pemilihan program pengajian adik-adik semasa memohon memasuki universiti dan kerjaya adik-adik pada masa akan datang.

Jadi, pastikan adik-adik bijak membuat keputusan ya!

Okay bagaimana nak pilih subjek STPM ni? Ada beberapa perkara yang adik-adik perlu pertimbangkan iaitu:

1. Keperluan Program Pengajian Universiti

Adik-adik kena fikirkan dari sekarang tau nanti nak ambil program pengajian apa di universiti nanti.

Program-program pengajian yang ditawarkan di universiti akan memerlukan subjek-subjek tertentu sebagai syarat kelayakan.

Adik-adik boleh periksa syarat-syarat kelayakan akademik bagi program pengajian yang diminati.

Pastikan subjek-subjek yang adik-adik pilih di Tingkatan 6 boleh memenuhi syarat yang dikehendaki.

Sebagai contoh, kalau adik-adik nak sambung bidang kedoktoran di universiti, adik-adik mesti mengambil subjek dari aliran sains seperti biologi, matematik tambahan, kimia, dan sebagainya.

2. Minat dan kebolehan

Minat memainkan peranan yang sangat penting ya adik-adik. Kalau minat barulah seronok dan semangat nak belajar kan!

Minat adik-adik terhadap subjek-subjek tersebut akan membantu adik-adik untuk cemerlang dalam STPM.

Selain minat, adik-adik juga perlu mempertimbangkan kebolehan adik-adik dalam subjek-subjek tersebut.

Jika ada minat dan kebolehan, adik-adik akan lebih mudah untuk kuasai subjek-subjek dan memberikan prestasi yang baik.

3. Kepentingan dalam kerjaya

Apa matlamat kerjaya adik-adik? Adik-adik mesti dah ada kerjaya yang diidamkan kan? Jadi, adik-adik perlu cari tahu subjek-subjek yang berkaitan dengan kerjaya tersebut.

Sebagai contoh, kalau adik-adik minat nak jadi seorang jurutera, mengambil subjek seperti Matematik, FIzik, dan Kimia boleh menjadi pilihan yang terbaik.

4. Pencapaian Kecemerlangan Akademik

Adik-adik boleh lihat daripada pencapaian peperiksaan sebelum ini seperti keputusan SPM. Pasti terdapat subjek-subjek tertentu yang mendapat gred yang cemerlang kan, ia juga boleh menjadi pilihan yang baik dalam pemilihan subjek STPM.

5. Berbincang dengan guru

Mungkin adik-adik masih ragu-ragu dalam memilih subjek STPM kan? Apa yang adik-adik boleh lakukan adalah rujuk kepada guru, kaunselor, ataupun penasihat pendidikan di sekolah anda.

Dengan pengalaman dan ilmu yang mereka miliki, mereka pasti akan memberikan nasihat dan bimbingan yang sesuai berdasarkan minat dan kebolehan anda.

Kesimpulannya, apa pun subjek yang adik-adik pilih semasa di Tingkatan 6 nanti, akan mempengaruhi keputusan program pengajian adik-adik di universiti nanti.

Jadi, penting untuk adik-adik lakukan kajian yang teliti terlebih dahulu dan pertimbangkan semua faktor sebelum membuat keputusan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai STPM, anda boleh terus ke Portal Rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia atau hubungi talian mereka di 03-61261600.