Kelebihan Dan Keburukan Kad Kredit Anda Perlu Tahu

Kelebihan dan keburukan kad kredit yang pengguna perlu tahu sebelum memohon kemudahan tersebut dari mana-mana bank seperti Maybank, CIMB, RHB bank dan banyak lagi.

Adakah anda biasa menggunakan kad kredit untuk membuat sebarang pembayaran.

Sebenarnya, kad kredit diperkenalkan sebagai sejenis perkhidmatan daripada institusi kewangan bagi memudahkan proses peminjaman kewangan dalam kalangan pengguna.

Namun, wang yang dipinjam dalam bentuk kad kredit perlu dibayar balik dalam tempoh yang ditetapkan.

Biasanya, jika anda gagal membayar balik pinjaman kad kredit tersebut, anda akan dikenakan kadar faedah tinggi.

Sebenarnya, terdapat beberapa kelebihan dan keburukan menggunakan kad kredit.

Kelebihan Kad Kredit

Mesti ramai yang teruja mendapatkan kad kredit pertama dalam hidup anda. Apa lagi bagi mereka yang baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan.

Tentu seronok, boleh berbelanja sakan…. pasti banyak juga baiknya ada kemudahan kad kredit nie.

Mari check satu persatu kelebihan kad kredit.

  1. Mudah digunakan

Dengan menggunakan kad kredit, pengguna tidak perlu lagi membawa duit wang yang banyak ketika melakukan pembayaran.

Lebih-lebih lagi, dengan menggunakan kad kredit, anda boleh melakukan pembayaran secara ansuran tanpa dikenakan sebarang faedah.

Tambahan pulak, penggunaan kad kredit ini turut memudahkan pengguna memeriksa rekod perbelanjaan dengan lebih melalui penyata bulanan kad kredit.

2. Selamat Digunakan

Sebenarnya, penggunaan kad kredit merupakan cara yang lebih selamat berbanding dengan penggunaan wang tunai disebabkan, wang tunai boleh hilang atau dicuri.

Sekiranya, kad kredit hilang, pengguna boleh mengawal keadaan dengan membuat laporan polis dan hubungi bank bagi menghalang kad tersebut dari digunakan.

3. Membina Laporan Kredit

Salah satu lagi kelebihan menarik menggunakan kad kredit ialah dapat membina mata kredit baik jika membuat pembayaran kredit pada masa yang ditetapkan.

Biasanya, jika anda memohon sebarang pinjaman daripada bank, pihak bank akan mengenalpasti sama mada anda merupakan peminjam yang baik melalui laporan kredit atau CCRIS.

Jika laporan kredit anda baik, ia akan memudahkan anda mendapat pinjaman bank (pinjaman rumah, kereta, atau duit untuk memulakan perniagaan).

4. Memperoleh ganjaran

Dengan penggunaan kad kredit, anda boleh mendapatkan pelbagai jenis ganjaran bergantung pada jenis kad kredit dipilih seperti cashback (pulangan tunai), mata ganjaran dan kad kredit petrol.

Jika anda bijak berbelanja menggunakan kad kredit, anda turut boleh memperoleh pulangan yang lumayan.

5. Duit Kecemasan

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, pengguna boleh menggunakan kad kredit bagi melakukan sebarang pembayaran.

Contohnya, jika ahli keluarga anda sakit atau perlu pergi ke hospital dan tidak mempunyai wang untuk melakukan pembayaran bil hospital, anda boleh menggunakan kad kredit bagi melakukan pembayaran.

Walaupun pengguna tidak mempunyai duit, mereka masih boleh membayar bil hospital dan keperluan lain dengan kad kredit.

Keburukan

Semua perkara ada kelebihan baik dan buruknya. Seperti juga duit siling, ada dua sisi berbeza.

Kad kredit ini jika digunakan dengan baik, banyaklah kelebihannya tetapi lain pula halnya jika tersalah guna.

Anda perlu punya kawalan diri yang tinggi jika anda memiliki kad kredit.

Mari tengok apa pula kemungkinan masalah jika anda menggunakan kad kredit dengan tidak berhati-hati.

  1. Keborosan

Salah satu keburukan pengunaan kad kredit ialah membuatkan pengguna menjadi boros berbelanja.

Pengguna lebih cenderung berbelanja berlebihan melebihi had disebabkan kad kredit boleh digunakan pada bila-bila masa sehingga membuatkan mereka mempunyai hutang yang banyal.

Hal ini boleh membuatkan pengguna kad kredit mempunyai masalah hutang lebih besar yang turut boleh menganggu sistem kewangan dalam kehidupan seharian.

2. Boleh Dikenakan Kadar Faedah

Penggunaan kad kredit boleh dikenakan kadar faedah yang tinggi, sehingga sebanyak 18% per tahun.

Kadar faedah ini akan dikenakan jika pengguna tidak membuat pembayaran hutang kad kredit dalam tempoh yang ditetapkan.

Hal ini turut akan mempengaruhi laporan kad kredit atau CCRIS yang akan mencerminkan kredebiliti anda sebagai penghutang.

3. Blacklisted

Sekiranya pengguna tidak melakukan pembayaran kad kredit pada masa ditetapkan, mereka boleh dijadikan blacklisted oleh pihak bank.

Kini lebih ramai pengguna menadi muflis di Malaysia dan salah satu faktor ini ialah tidak mampu membuat pembayaran hutang kad kredit pada masa yang ditetapkan.

Akibatnya, pengguna tidak boleh melakukan sebarang pinjaman bank, membeli rumah, kereta dan sebagainya daripada bank di Malaysia.

Baiklah, harap-harap sedikit informasi mengenai kelebihan dan keburukan kad kredit ini dapat menjadi panduan anda sedikit sebanyak. Ekonomi semakin tidak baik, marilah berbelanja dengan cermat.