17 Jenis Pengeluaran KWSP Akaun 1 & 2 Sebelum Umur Bersara
Pengeluaran KWSP Akaun 1 & 2 sebelum umur bersara. Tahukah anda bahawa ada 17 jenis pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh anda buat sebelum anda bersara.
Kali ini kami kongsikan dengan anda sedikit maklumat berkenaan jenis-jenis pengeluaran untuk makluman anda.
Sebenarnya info ini juga boleh anda perolehi dari laman web rasmi KWSP. Di sana ada disenaraikan jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan.
Kami akan kemaskini page ini bila ada perubahan maklumat terbaru dan polisi dari masa ke semasa untuk panduan anda.
17 Jenis Pengeluaran KWSP Yang Dibenarkan
Di bawah adalah senarai jenis pengeluaran dan syarat-syarat pengeluaran KWSP Akaun 1 sebelum mencapai umur bersara. Pengeluaran KWSP Akaun 1 untuk peribadi seperti pergi melancong atau beli perabot dan kereta tidak dibenarkan.
#1. Pengeluaran Pada Umur 50 Tahun
Boleh atau tidak pengeluaran kwsp umur 50 Akaun 1? Setakat ini jawapannya ialah TIDAK.
Apa bila ahli mencapai umur 50 tahun, anda boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian simpanan dari Akaun 2.
Pengeluaran boleh dibuat berpandukan syarat-syarat seperti di bawah.
- Permohonan sekali sahaja
- Mempunyai pilihan pengeluaran sama ada:
- Semua Simpanan Mengeluarkan kesemua simpanan secara sekaligus dari Akaun
- Sebahagian Simpanan Mengeluarkan sebahagian simpanan dari Akaun 2
- Permohonan boleh dibuat 1 bulan lebih awal sebelum ahli mencapai umur 50 tahun
#2. Pengeluaran Umur 55 Tahun
Pengeluaran kesemua ATAU sebahagian simpanan apabila ahli mencapai umur 55 tahun. Pengeluaran pada bila-bila masa dan tiada had amaun minimum.
Kelayakan Memohon
- Warganegara Malaysia; ATAU Bukan Warganegara
- Berumur di antara 55 tahun hingga 59 tahun
- Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 55
- Ahli Penjawat Awam Berstatus Pekerja Berpencen:
- Ahli yang belum membuat Pengeluaran Skim Pengeluaran Pekerja Berpencen/Pesara Pilihan (SPPB/SPP) adalah dikehendaki untuk membuat pemohonan Pengiraan Awal Syer Kerajaan (Pre-PEN). Tujuannya bagi memastikan ahli tidak terambil bahagian syer kerajaan yang akan menjejaskan bayaran ganjaran dan pencen.
- Jika permohonan Pengeluaran Umur 55 Tahun dan Pre-PEN dibuat serentak, bayaran Pengeluaran Umur 55 Tahun akan dibuat selepas pengiraan Pre-PEN diluluskan (Jika ada baki simpanan KWSP).
#3. Pengeluaran Umur 60 Tahun
- Pengeluaran untuk kategori ini adalah sambungan kepada kebenaran Pengeluaran Umur 55 Tahun sedia ada selaras dengan umur persaraan minimum 60 tahun
- Pengeluaran boleh dibuat oleh ahli pada bila-bila masa tanpa had amaun/jumlah minimum
#4. Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
- Ahli boleh membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 2 bagi tujuan mengurang / menyelesaikan baki pinjaman perumahan daripada institusi pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP bagi pembelian secara individu ATAU
- Bersama Pembelian secara bersama dengan ahli keluarga terdekat (suami / isteri, ibu bapa, ibu bapa mertua, ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, anak, anak tiri, anak angkat atau adik beradik / individu lain ATAU membantu suami / isteri)
#5. Pengeluaran Hilang Upaya
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya ahli tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsional kekal untuk memperolehi pekerjaan (employability) atau pendapatan.
#6. Pengeluaran Meninggalkan Negara
Pengeluaran Ini Boleh Dimohon Oleh :
- Warganegara Malaysia yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan mereka untuk berhijrah ke negara lain ATAU
- Bukan warganegara Malaysia yang telah berhenti kerja dan akan meninggalkan negara Malaysia
#7. Pengeluaran Pendidikan
Pengeluaran ini membenarkan ahli mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 bagi tujuan membiayai yuran pengajian ahli / anak ahli (termasuk anak tiri dan anak angkat) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara.
#8. Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
Pengeluaran kesemua simpanan bahagian pekerja bagi ahli yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam dan diberi taraf pekerja berpencen. Bahagian majikan akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)
#9. Skim Pelaburan Ahli
Skim Pelaburan ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.
Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik dengan jumlah minimum pelaburan sebanyak RM 1,000.
#10. Pengeluaran Membina / Membeli Rumah
Ramai tanya boleh atau tidak pengeluaran KWSP Akaun 1 untuk rumah? Setakat ini pengeluaran untuk tujuan tersebut hanya guna Akaun 2.
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian sebuah rumah.
Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.
#11. Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta
Pilihan kepada ahli yang mempunyai simpanan melebihi RM1 Juta mengeluarkan lebihan simpanan berkenaan untuk diuruskan sendiri oleh ahli
#12. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Pengeluaran simpanan akaun 2 untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuan pembelian atau pembinaan rumah
#13. Pengeluaran Kematian
Memastikan semua simpanan KWSP ahli diagih kepada penama / waris / Pemegang Amanah / Pentadbir Pusaka yang layak setelah kematian ahli.
#14. Pengeluaran Kesihatan
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal dan / atau pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga KWSP yang dihidapi oleh ahli atau ahli keluarga yang dibenarkan
#15. Pengeluaran Haji
- Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012 telah memperkenalkan inisiatif Pengeluaran Haji kepada ahli KWSP untuk membuat pengeluaran simpanan dari Akaun 2 untuk menunaikan ibadah Haji.
- Pengeluaran Haji bertujuan menampung perbelanjaan asas mengerjakan Haji dan bukan keseluruhan kos perbelanjaan Haji. Rasionalnya, untuk memastikan pengeluaran yang dibuat tidak menjejaskan simpanan persaraan ahli.
#16. Pengeluaran Perumahan Fleksibel
- Pengeluaran Perumahan Fleksibel adalah proses menghadang atau mengenepikan sebahagian simpanan dalam Akaun 2 ahli ke Akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel bagi membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi untuk membeli / membina rumah.
- Konsep atau kemudahan Pengeluaran Perumahan Fleksibel adalah bertujuan untuk memanfaatkan nilai simpanan/caruman KWSP sedia ada dan masa hadapan dalam pertimbangan pemberian pinjaman oleh pihak Institusi Kewangan.
- Berdasarkan konsep ini, caruman bulanan kepada KWSP dianggap sebagai pendapatan. Dengan ini, ahli boleh mendapat jumlah pinjaman yang lebih tinggi kerana penilaian kredit (credit assessment) ke atas pendapatan bersih turut mengambilkira caruman KWSP (bahagian pekerja dan majikan). Oleh yang demikian, ahli boleh membeli / membina rumah yang lebih tinggi harganya kerana ini boleh melayakkan mereka mendapat pinjaman yang lebih tinggi untuk membiayai pembelian / pembinaan rumah.
#17. Pengeluaran Perumahan PR1MA
Membantu Ahli KWSP Memiliki Sebuah Rumah Di Bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Dengan Memanfaatkan Simpanan KWSP Ahli Sedia Ada Serta Caruman Bulanan Di Masa Depan.
Nota: Untuk maklumat penuh kesemua 17 jenis pengeluaran KWSP di atas layari laman web rasmi KWSP.
Mungkin dari masa ke semasa KWSP akan melakukan perubahan. Maklumat 17 jenis pengeluaran ini tidak semestinya tepat sepanjang masa, anda dinasihatkan mengunjungi pejabat KWSP yang terdekat untuk maklumat terkini.
Cara Memohon Untuk Mengeluarkan Wang KWSP
Untuk membuat permohonan, pengguna digalakkan untuk menghantar permohonan secara online.
Anda perlu daftar pengguna di portal i-Akaun untuk tujuan tersebut. Jika belum ada i-Akaun KWSP silalah cepat-cepat daftar.
Kaedah permohonan secara online ini lebih mudah dan pantas berbanding seperti praktis sebelum ini yang anda perlu datang ke pejabat KWSP yang terdekat untuk urusan tersebut.
Diharapkan perkongsian info mengenai jenis pengeluaran KWSP Akaun 1 & 2 sebelum umur bersara ini bermanfaat kepada anda.