Syarat Kelayakan Caruman PERKESO Yang Perlu Anda Tahu!

Syarat kelayakan caruman perkeso

PERKESO ataupun Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia adalah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Kalau anda teliti slip gaji anda setiap bulan, pasti ada sejumlah nilai gaji anda yang dipotong untuk peruntukkan PERKESO kan?

Tujuan PERKESO adalah untuk memberi bayaran tunai dan faedah kepada pekerja sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial dalam sektor swasta.

Faedah dan bayaran ini diberikan sekiranya berlaku kecemasan, kemalangan di tempat kerja, penyakit pekerjaan atau kematian.

READ: Apa Beza Beras Tempatan Dan Import? Kenali Beza & Kelebihannya

Untuk tahu lebih lanjut tentang syarat kelayakan caruman PERKESO, teruskan membaca.

Syarat-syarat Kelayakan Caruman PERKESO:

  1. Warganegara Malaysia / Pekerja Asing Yang Masuk Secara Sah

Syarat layak mendaftar PERKESO, anda perlulah menjadi seorang warganegara Malaysia. Walau bagaimana pun, bagi pekerja warga asing, majikan perlu mendaftarkan pekerja asing mereka yang diambil bekerja untuk perlindungan Skim Bencana Kerja PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 ( Akta 4 ).

Pekerja asing baharu yang baru bekerja di Malaysia wajib mempunyai passport dan pas khas. Manakala bagi pekerja asing yang telah sedia ada, wajib mempunyai passport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau pas kerja yang sah.

Sekiranya pekerja asing memiliki dokumen-dokumen tersebut, barulah layak untuk berdaftar dengan PERKESO.

2. Berumur 18-60 Tahun

Caruman PERKESO layak bagi semua pekerja yang berumur dari 18 tahun hingga 60 tahun kecuali bagi pekerja yang berumur 57 tahun ke atas dan tiada caruman telah dibayar sebelum mencapai 57 tahun.

3. Mempunyai Pendapatan

Pekerja perlu memiliki pendapatan dari pekerjaan atau perniagaan yang memenuhi had minimum caruman PERKESO. Bermula 1 September 2022, PERKESO menguatkuasakan had siling gaji baharu bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

4. Pekerja Bermajikan

Semua pekerja yang diambil bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau kontrak perantisan di sektor swasta, serta bertaraf kontrak / sementara bagi kakitangan Kerajaan Persekutuan / Negeri serta Badan Berkanun Persekutuan / Negeri hendaklah didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO.

Kadar caruman maksimum adalah berdasarkan had siling gaji yang diinsuranskan sebanyak RM5,000.00 sebulan.

5. Bekerja Sendiri

Sekiranya anda bekerja sendiri ataupun seorang pekerja bebas, anda perlu mendaftar dengan PERKESO dan membuat caruman sendiri.

6. Pesara

Sekiranya anda telah membuat caruman semasa bekerja dan telah mencapai umut persaraan, anda boleh menerima manfaat PERKESO seperti Jaminan Pencen.

Demikian adalah beberapa syarat kelayakan bagi caruman PERKESO. Syarat-syarat tersebut boleh sahaja berubah mengikut ketetapan PERKESO yang terkini.

Oleh itu, penting untuk anda merujuk sendiri di laman web rasmi mereka untuk lebih kepastian.

Jika anda memerlukan maklumat yang lebih terperinci, anda boleh terus melayari website rasmi PERKESO di pautan https://www.perkeso.gov.my/ ataupun email perkeso@perkeso.gov.my ataupun hubungi mereka di talian rasmi 1-300-22-8000.

Ataupun sekiranya anda mempunyai pertanyaan yang ingin diajukan bolehlah ke pautan Borang Maklum Balas PERKESO.

Jika anda layak, mencarumlah untuk masa depan anda.