Syarat Mohon Kerja Kapal Kargo Yang Perlu Anda Tahu

Syarat mohon kerja kapal kargo yang perlu anda tahu jika berminat menceburi pekerjaan tersebut. Tentu ramai yang berminat untuk kerja atas kapal kargo.

Ini mungkin sebab pekerja kapal kargo berpeluang untuk mengunjungi banyak negara dan juga potensi gaji yang agak lumayan.

Ramai yang teringin dapat kerja ini, tetapi sebelum itu apakah anda tahu apa-apa mengenai bidang kerja tersebut?

Mari Ketahui Apa Itu Pekerjaan Kapal Kargo

Pekerjaan kapal kargo adalah termasuk sebarang jawatan yang terlibat dalam membantu kapal kontena mengangkut barang dari pelabuhan ke pelabuhan di seluruh dunia.

Pekerjaan kapal kargo sememangnya memerlukan kepakaran yang mahir dan pengetahuan yang tinggi untuk memenuhi jawatan seperti kapten, pengendali bahan, kelasi, rigger, operator forkflit, dan pekerja mahir lain.

Setiap jawatan mempunyai tugasan khas masing-masing dan tanggungjawab yang berbeza-beza untuk dijalankan demi mencapai matlamat dan objektif syarikat.

Sebagai contoh, pegawai dek kapal bertanggungjawab dalam merancangan laluan kapal, menjamin keselamatan navigasi kapal, mengatur pemuatan dan pelepasan kargo, memastikan kestabilan kapal, komunikasi dan penyelenggaraan peralatan badan kapal dan dek.

Ok, selepas membaca sedikit bidang kerja atas kapal kargo, apakah anda masih berminat?

Jika nak mohon, kena tahu dan faham kriteria yang diperlukan dalam bidang tersebut.

Apakah Kriteria yang Diperlukan untuk Mendapat Pekerjaan di Kapal Kargo?

1. Kekuatan Fizikal

Pekerja kapal kargo akan kerap mengangkat pelbagai peralatan dan barang berat, dan mengangkutnya ke kawasan berbeza di atas kapal kontena.

Kerja-kerja pengalihan barang-barang berat akan memerlukan pekerja untuk berdiri selama berjam-jam sehingga selesai.

Selain kerja mengangkat berat, pekerja kapal kargo juga perlu mengalihkan barang-barang berat menggunakan tangga ataupun melalui ruangan yang sempit.

2. Ketangkasan Manual

Seorang pelaut sangat penting untuk memiliki koordinasi mata dan tangan yang tangkas untuk mengendalikan mesin dengan cekap serta melindungi diri dan anak kapal lain daripada ditimpa bahaya atau kemalangan.

3. Kemahiran Komunikasi

Komunikasi antara krew kapal sangat penting semasa menjalankan tugas dan kerja mereka.

Sebagai contoh, pekerja kapal kargo akan menyampaikan situasi semasa di atas kapal kepada pekerja lain yang sedang memunggah barang untuk dimuatkan ke atas kapal kargo.

Pihak pengurusan di atas kapal menggunakan kemahiran interpersonal untuk melatih kakitangan baharu tentang cara penggunaan peralatan dengan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Tanpa komunikasi yang baik, kesalahfahaman tugas kerja antara pekerja mungkin akan berlaku.

4. Berorientasikan Perincian

Setiap operasi kapal kargo perlu direkodkan dan disimpan untuk rujukan setiap masa.

Pemerhatian terhadap setiap perincian kapal kargo membolehkan krew kapal membuat penambahbaikan pada mesin dan memastikan persekitaran kerja sentiasa teratur dan selamat.

Apakah Skop Tugas Sebagai Pekerja Kapal Kargo?

Skop kerja kapal kargo adalah berbeza dan mempunyai tugasan khas masing-masing mengikut jawatan.

Antara jawatan dan skop kerja yang terlibat dalam kerja kapal kargo adalah seperti berikut:

  1. Pengedali Bahan

Tugas utama jawatan ini dalam kapal kargo adalah mengawal penempatan inventori di dalam kapal kargo.

Setelah pekerja kapal menyelesaikan proses pemunggahan barang-barang, pengendali bahan akan melabelkan item dan mengesahkan penghantaran yang diterima oleh krew sepadan dengan apa yang dipesan.

Pengendali bahan juga bertanggungjawab untuk menghantar inventori ke jabatan yang betul.

2. Kelasi Kapal

Kelasi kapal ialah krew kapal peringkat kemasukan yang melakukan penyelenggaraan pada kapal kargo seperti aktiviti membersihkan kapal dan menyapu cat baharu.

Tugas lain yang dilakukan adalah menjalankan pemeriksaan ke atas peralatan dan membina talian tunda dan wayar, dan membantu rakan anak kapal menyediakan kapal kargo untuk proses pemunggahan.

3. Rigger atau Juru Ikat

Rigger ialah anak kapal yang mengendalikan mesin mengangkat beban ataupun crane untuk meletakkan semula barang merentasi kapal kargo.

Riggers bertanggungjawab untuk meletakkan bahan dalam ruangan yang sempit menggunakan kabel dan takal yang boleh menyokong berat dan saiz kargo.

Mereka juga yang akan mengarahkan pengendali kren dan forklift ke tempat menurunkan kargo semasa pengangkutan inventori.

4. Operator Forkflit

Tugas utama operator forkflit adalah memandu forkflit untuk mengangkut kargo berat ke lokasi yang berbeza di atas kapal kargo.

Mengikut arahan rigger, operator forklift mengawal inventori pada forkflit dan menghantarnya dengan selamat ke tempat penyimpanan yang betul.

Selain itu, operator forkflit juga akan membantu menilai inventori penghantaran dan melaporkan jika terdapat item yang rosak.

Apakah Risiko dan Cabaran Kerja Kapal Kargo?

Mengikut klasifikasi, pekerjaan perkapalan atau bekerja di laut telah diklasifikasikan sebagai salah satu daripada sepuluh pekerjaan paling berbahaya di dunia.

Setiap jenis profesion mempunyai bahaya masing-masing yang perlu ditangani dan keupayaan seseorang untuk melaksanakan apa-apa pekerjaan tertentu diuji berdasarkan tindak balasnya terhadap bahaya yang dihadapi.

Begitu juga dengan masalah profesion yang dihadapi di atas kapal, pasti ada cara tersendiri untuk menangani masalah-masalah yang bakal dihadapi.

Jadi seseorang tidak seharusnya berputus asa daripada mengambil kerjaya sebagai seorang pelaut.

Kecergasan fizikal yang kuat adalah amat penting kerana setiap pekerjaan dalam perkapalan adalah agak berlanjutan dan kesusahan tidak dapat diatasi tanpa keadaan kesihatan badan kuat.

Seperti yang kita semua tahu, kapal yang berlayar di laut akan sentiasa dalam keadaan yang bergerak sama ada dalam keadaan yang bergoyang-goyang, bergolek berat, atau seperti terlempar.

Pergerakan kapal yang melampau dan berterusan ini boleh mengakibatkan mabuk yang sangat teruk walaupun anda merupakan seorang berupaya mengekalkan keseimbangan ketika di atas kapal dan tidak berasa mabuk laut apabila berada di atas kapal yang bergerak.

Kerja kapal kargo juga sangat mencabar kerana krew kapal akan sentiasa terdedah kepada keadaan suhu dan cuaca yang melampau terutama semasa pelayaran jauh merentasi banyak negara ataupun benua.

Sebagai contoh, pelayaran yang begitu panjang membawa kapal ke Alaska atau Scandinavia yang sejuk dan juga keadaan panas dan lembap di kawasan tropika atau Teluk Parsi.

Seorang pekerja kapal kargo yang bekerja di atas kapal harus sentiasa cergas untuk menghadapi sebarang jenis cuaca dan sentiasa bersedia untuk bekerja dalam apa jua jenis persekitaran.

Kemalangan juga cenderung untuk kerap berlaku di atas kapal dan ia juga sudah menjadi sebahagian daripada kerja perkapalan.

Kemalangan yang sering berlaku ketika berada di atas kapal adalah apabila seseorang jatuh ke dalam laut, jatuh ke geladak, di dalam bilik enjin, atau dari mana-mana struktur kapal semasa sedang bertugas di atas kapal.

Perlu diingatkan juga bahawa di dek kapal terdapat banyak peralatan mekanikal dan elektrik, jadi ia perlu sentiasa digunakan dan dikendalikan dengan berhati-hati kerana jika tidak, risiko kemalangan berlaku sangat besar.

Keadaan sangat mencabar dan berisiko tinggi kerana pekerja kapal kargo perlu berurusan dengan jentera yang kompleks dan berbahaya itu setiap hari.

Nasihat Kepada Yang Berkeinginan Bekerja dengan Kapal Kargo

Setiap bidang pekerjaan sama ada di darat, lautan, mahupun di udara masing-masing memiliki risiko yang bakal dihadapi.

Pekerjaan sebagai pelaut terutamanya sebenarnya merupakan pekerjaan yang baik, penuh cabaran, dan memerlukan kukuatan fizikal dan mental untuk bertahan.

Pendapatan yang bakal diterima memanglah lumayan, tetapi harus diingatkan bahawa setiap ganjaran perlu ada ‘bayaran’ serta pengorbanannya.

Kalau di Malaysia, jika anda berminat untuk berkerja atas kapal kargo, anda dinasihatkan untuk mengikuti kursus yang bersesuaian untuk menyediakan ada dalam bidang kerja tersebut.

Ada banyak kolej (colleges) yang menyediakan kursus maritime education kepada pelajar yang berminat dalam bidang kerja tersebut.

Kita akan tulis sedikit informasi mengenai kursus peringkat sijil mahupun diploma yang sesuai anda ambil untuk melayakkan anda kerja kapal kargo di artikel berasingan nanti.