Buat Pertimbangan Sebelum Menerima Tawaran Kerja
Anda pasti teruja apabila menerima tawaran pekerjaan kan? Selalunya kita yang mencari pekerjaan, tapi dalam situasi ini pekerjaan yang mencari kita.
Tapi ingat! Jangan asal terima sahaja tawaran kerja yang anda terima, banyak pertimbangan yang anda perlu fikirkan terlebih dahulu.
Membuat pertimbangan sebelum mengambil sebarang keputusan sangat penting supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Semakin banyak faktor yang anda pertimbangkan, semakin banyak maklumat yang anda akan dapat untuk membimbing pembuatan keputusan yang tepat.
Jika anda bingung sama ada ingin menerima ataupun menolak tawaran kerja yang anda dapat, artikel ini mungkin akan membantu anda membuat keputusan.
Perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila menilai tawaran kerja:
- Gaji Basic Yang Ditawarkan
Sebelum menerima ataupun memohon sesuatu pekerjaan, pasti gaji adalah perkara pertama yang paling penting kan?
Mestilah anda mahukan gaji yang berbaloi dengan kerja yang anda lakukan. Gaji basic, komisen, bonus, bayaran kerja lebih masa, dan pampasan, semua ini harus anda ambil kira.
Semasa mendapat tawaran pekerjaan, majikan pasti akan memberi maklumat tentang gaji yang bakal anda terima.
Jadi pastikan anda mengambil kira pendapatan yang bakal anda terima dengan keperluan kewangan anda.
Selain itu, kalau anda rasa layak untuk dapatkan kadar upah yang lebih tinggi, anda boleh saja berunding dengan bakal majikan dengan meyakinkan mereka tentang kebolehan dan kemahiran yang anda miliki.
2. Kadar Faedah Yang Diterima Pekerja
Gaji bukan satu-satunya yang anda harus ambil kira, tetapi kadar faedah juga. Apa faedah pekerja ni?
Faedah pekerja boleh mewakili 30% daripada jumlah pakej pampasan yang anda terima seperti insurans kesihatan, pelan persaraan, percutian, cuti sakit, insurans hayat, insurans hilang upaya dan mungkin banyak lagi.
Anda boleh nilai sendiri bahawa semua perkara tersebut sangat berharga untuk anda ambil peduli, sebab itu pentingnya penelitian sebelum menerima tawaran pekerjaan.
Pastikan anda menerima semua jenis hak anda sebagai pekerja.
3. Mobiliti Ulang Alik Bekerja
Lokasi anda bekerja sangat mempengaruhi kehidupan seharian anda. Sekiranya tempat kerja anda tidak jauh dari tempat tinggal, anda akan mempunyai lebih banyak masa lapang, tidak perlu melewati kesesakan jalan raya dan anda juga tidak akan masuk lewat bekerja.
Sekiranya jauh, anda perlu memikirkan tentang jenis pengangkutan, kos minyak kereta setiap minggu, dan anda perlu bergerak lebih awal dari rumah untuk mengelakkan tersangkut di kesesakan lebuh raya.
4. Kenal Pasti Reputasi Syarikat
Apabila bekerja di suatu syarikat, mesti anda mahu bekerja untuk jangka masa yang panjang kan?
Anda tidak mahu bekerja dengan syarikat yang mungkin akan bankrut dalam masa setahun akan datang.
Anda boleh melihat banyak ulasan tentang syarikat yang menawarkan anda pekerjaan dari pelbagai sumber seperti glassdoor.com dan google.
Walaupun ulasannya mungkin tidak tepat 100%, tetapi setidaknya anda dapatlah sedikit gambaran tentang keadaan semasa syarikat.
Syarikat yang mempunyai reputasi yang cemerlang akan sentiasa mengekalkan kakitangan mereka dan kemajuan syarikat akan sentiasa berkembang.
Pastikan syarikat yang anda ingin bekerja setaraf dengan nilai anda.
5. Kenali Budaya Kerja Yang Diamalkan Dalam Syarikat
Setiap tempat kerja mempunyai budaya masing-masing yang diamalkan oleh pekerja mereka.
Ia juga akan menentukan sama ada tempat pekerjaan anda menjadi tempat yang menyeronokkan ataupun mimpi ngeri.
Anda harus mempertimbangkan sama ada etika bekerja dan personaliti anda sepadan dengan pekerja lain yang anda akan berinteraksi setiap hari.
6. Cabaran Dalam Profesion
Sebelum menerima tawaran kerja, fikirkan tentang apakah yang syarikat tersebut boleh jamin kepada anda.
Adakah potensi untuk anda mengembangkan kerjaya anda di syarikat tersebut ataupun tidak?
Pasti anda mahu memilih pekerjaan yang membolehkan anda mengembangkan kemahiran baharu supaya anda boleh membuat kerja dengan kualiti yang terbaik kan?
Selain itu, kemahiran yang anda peroleh mestilah dapat membantu anda semasa mencari kenaikan pangkat nanti.
Sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan, tentukan sama ada jawatan yang ditawarkan itu boleh mengembangkan kerjaya anda ke arah yang lebih maju ataupun tidak.
7. Kaitan Tawaran Kerja Dengan Pengalaman Kerja Semasa
Mungkin tawaran kerja yang anda terima itu bukanlah tawaran yang pertama kali, tetapi ia juga bukan tawaran terakhir yang anda akan terima.
Demi perkembangan kerjaya anda, anda harus bersifat terbuka untuk menetapkan dalam minda bahawa pekerjaan anda sekarang mungkin tidak akan kekal selamanya.
Pada masa yang akan datang, anda mungkin sahaja menerima tawaran kerja lain ataupun bertukar ke bidang pekerjaan yang lain.
Jadi, perkara yang perlu dipertimbangkan adalah, anda patut menerima tawaran kerja sekiranya pekerjaan tersebut selaras dengan pekerjaan yang anda impikan.
Terima tawaran kerja yang agak berkaitan dengan bidang kerjaya yang anda minat.
Walau bagaimana pun, cubalah dapatkan pengalaman kerja yang relevan dengan bidang anda supaya anda pun mudah untuk cemerlang dalam industri anda.
Sebagai contoh, jika anda seorang jurutera elektrikal, takkan anda hendak menerima tawaran bekerja dalam bidang berkaitan pembinaan pulak kan?
8. Tuntutan Pekerjaan
Keperluan sesuatu pekerjaan boleh berbeza mengikut kehendak majikan dan jenis jawatan yang dipegang.
Selain melihat keperluan kerja berdasarkan jawatan pada hari bekerja, anda juga mesti mempertimbangkan tuntutan pekerjaan yang mesti dipenuhi pada waktu luar bekerja.
Jawatan yang anda ditawarkan mungkin memerlukan anda untuk bekerja pada hari minggu ataupun bekerja lebih masa daripada pekerja lainnya.
Jadi, penting untuk anda mempertimbangkan hal tersebut supaya waktu anda bekerja tidak menjejaskan masa berehat dan bercuti anda dengan keluarga dan kawan-kawan.
Menerima tawaran kerja boleh menjadi satu keputusan yang menarik, tetapi keputusan untuk menolaknya pun adalah salah satu keputusan serius yang boleh menentukan hala tuju kerjaya anda.
Lakukan segala pertimbangan yang boleh dengan teliti demi mencari pekerjaan yang paling berbaloi untuk diri anda. Apa pun keputusan anda, diharapkan agar anda akan tetap berjaya dalam bidang pekerjaan yang anda ceburi.