Tunku Abdul Rahman Marine Park Syurga Aktiviti Island Hopping, Snorkeling & Diving. Jom ke Sabah!
Anda mesti sudah banyak melawat banyak taman-taman eko atau hitan lipur kan? Tapi pernah tak anda dengar tentang Taman Laut Tunku Abdul Rahman di Sabah?
Untuk pengetahuan anda, taman laut ini terletak di luar pantai Teluk Gaya, lebih kurang 3 kilometer dari Kota Kinabalu.
Fakta menarik tentang nama taman laut ini adalah, ia diambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan diwartakan sebagai taman negara kedua Sabah pada tahun 1974.
Taman ini mempunyai keluasan seluas 50 kilometer persegi.
Uniknya lagi taman ini merangkumi 5 buah pulau menakjubkan yang dikelilingi pelbagai spesies terumbu karang dan ikan-ikan iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi, dan Pulau Sulug.
Setiap pulau-pulau ini mempunyai keunikan dan keistimewaannya masing-masing, yang paling penting boleh buat aktiviti snorkeling dan diving!
Tujuan Tempat Ini diwartakan sebagai Taman Laut
Tujuan utama taman laut ini diwartakan adalah untuk melindungi habitat flora, fauna, dan ekosistem marin mereka.
Jika tempat ini tidak dipelihara dengan undang-undang, pasti pulau-pulau yang indah di sini akan dirosakkan oleh tangan-tangan manusia.
Di setiap pulau ini mempunyai pusat pentadbirannya masing-masing, tetapi pusat pentadbiran bagi Taman Tunku Abdul Rahman adalah di Pulau Manukan.
Masa Terbaik Melawat Taman
Anda boleh kunjungi taman laut ini pada bila-bila masa sahaja yang anda mahu. Tetapi masa yang terbaik untuk melawat pulau-pulau di taman laut ini adalah pada musim kemarau dari bulan Mac hingga September.
Barulah seronok bercuti di pulau kalau cuaca cerah dan tidak hujan.
Tak seronoklah kalau anda datang ke pulau pada musim hujan, air laut akan lebih bergelora dan berbahaya untuk melakukan sebarang aktiviti.
Air laut pun selalunya akan keruh ketika hujan, jadi tidak seronok melakukan aktiviti snorkeling dan diving.
Taman Laut Tunku Abdul Rahman sebagai Habitat Flora dan Fauna
Anda mesti teringin nak melihat kepelbagaian flora dan fauna sambil menikmati keindahan pulau kan?
Keinginan anda itu boleh dipenuhi jika anda datang sendiri ke taman laut ini, memang disinilah tempat anda boleh lihat flora dan fauna yang berlatarkan pemandangan kepulauan.
Kalau anda nak tahu, Pulau Gaya yang terbesar di taman ini mempunyai Hutan Dipterokarpa Pamah dan paya bakau yang sangat berperanan penting untuk mencegah hakisan tanah dan menjadi habitat hidupan marin.
Di hutan inilah juga tumbuh-tumbuhan semula jadi hidup dengan subur dan pokok-pokok ara yang menyediakan makanan untuk burung-burung, monyet, babi hutan, dan sebagainya.
Antara spesies haiwan berbulu di taman laut ini ialah helang laut berwarna putih, burung enggang, bangau hijau, burung pasir, perangkap lalat, dan burung matahari.
Taman Laut Tunku Abdul Rahman Ialah Syurga bagi Hidupan Laut
Sesuai dengan fungsi taman laut, memang di sinilah tempat anda boleh melihat kepelbagaian terumbu karang yang menjadi tempat tinggalnya hidupan marin yang terbesar dan pelbagai di dunia.
Di taman laut ini anda boleh lihat terumbu karang mengelilingi semua kepulauan yang ada dan di sekeliling pulau juga dipenuhi dengan pelbagai hidupan laut dan speseis ikan yang berwarna-warni.
Untuk pengetahuan anda, taman ini melindungi sebanyak 131 spesies terumbu karang yang menjadi rumah untuk 482 spesies terumbu dan ikan pelagik.
Cuba bayangkan kalau anda dapat melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam di sini dan melihat semuanya dengan mata anda sendiri, memang tidak terkata cantiknya!
Menariknya lagi, di taman laut ini anda mungkin berpeluang melihat Paus Jerung iaitu ikan yang terbesar di dunia!
Bukan itu saja, 4 spesies ikan lumba-lumba pun kerap mengunjungi taman laut ini, memang beruntung kalau ikan-ikan yang hebat ini muncul ketika kita sedang melawat, pasti tak terbayang keterujaan masing-masing.
Tambahan lagi, tempat ini menjadi tarikan bagi para penyelidik dan pencinta laut kerana di sini anda boleh menemukan 453 spesies moluska, 80 spesies echinoderms dan 63 spesies alga makro.
Memang betul-betul syurga hidupan laut!
Kemudahan dan Fasiliti di Taman Laut Tunku Abdul Rahman
Taman laut ini sangat mementingkan kepuasan pengunjung dan sentiasa menyediakan kemudahan dan fasiliti supaya para pengunjung selesa dan selamat.
Berikut adalah antara kemudahan yang disediakan:
- Tempat penginapan
Jika anda merancang percutian untuk beberapa hari, Sutra Sanctuary Lodges di Pulau Manukan ada menyediakan tempat penginapan untuk anda.
Kalau anda mahukan penginapan yang mewah pun boleh!
Di Teluk Malohom, Pulau Gaya pun ada resort mewah yang lebih privasi untuk anda!
2. Kafe dan restoran
Mesti seoronok dapat makan-makan sambil menikmati pemandangan laut kan! Di taman laut pun ada menyediakan kafe dan kedai makanan ringan untuk para pengunjung.
Kedai-kedai ini dikendalikan oleh Koperasi Kakitangan Taman Sabah (KOKTAS) yang terdapat di Pulau Manukan, Pulau Mamutik, dan Pulau Sapi.
3. Pusat sukan laut
Jika anda nak buat aktiviti snorkeling dan menyelam, anda bolehlah datang ke pusat ini untuk bantuan.
4. Tapak perkhemahan
Nak berkhemah di pulau pun boleh! Kemudahan ini ada disediakan di taman laut ini kecuali di Pulau Manukan dan Pulau Sulug.
Makan-makan bbq sambil layan angin laut dan bunyi ombak laut ramai-ramai mesti seronok!
5. Perkhidmatan bot
Pengangkutan bot pun ada disediakan untuk para pengunjung yang nak ke taman laut.
Jika anda nak menaiki bot ini, anda perlu melalui jeti di Jesselton Point yang terletak di sebelah bangungan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di Kota Kinabalu.
Masa yang diambil untuk sampai tidaklah lama, lebih kurang 15 minit saja dengan bot laju.
6. Tandas dan bilik persalinan
Fasiliti ini memang wajib ada lah di mana-mana tempat percutian kepulauan. Lepas mandi-manda di laut, senanglah pengunjung nak bersihkan diri dan salin baju.
Kenali setiap pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman
- Pulau Gaya
Pulau Gaya ialah pulau yang terbesar di taman laut ini. Nama pulau inI berasal dari perkataan Bajau iaitu ‘Gayo’ yang bermaksud besar.
Kalau anda nak tahu, keluasan pulau ini ialah 3,700 ekar dan ketinggian sehingga 300 meter.
Menariknya lagi, di pulau ini terdapat sebuah pantai yang popular kerana berbentuk separa bulat yang besar di Utara, ia terletak di pinggir Teluk Bulijong.
Kalau nak buat aktiviti snorkeling dan menyelam di sini memang seronok kerana banyak terumbu karang dan ikan-ikan yang mengelilingi pulau ini.
2. Pulau Manukan
Pulau Manukan pula ialah pulau yang kedua terbesar dan paling maju di taman laut ini.
Pulau Manukan sangat unik kerana bentuknya seperti bulan sabit. Pulau ini berukuran panjang satu setengah kilometer dan lebar satu pertiga kilometer di bahagian tengah pulau, sebab itulah ia sangat unik sehingga menarik perhatian ramai pelancong.
Anda boleh bayangkan sendiri betapa unik dan indahnya pulau yang berbentuk bulan sabit ni! Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini ialah meyelam dan snorkeling, berkelah, dan parasailing. Menarik!
3. Pulau Mamutik
Pulau Mamutik ialah pulau yang terkecil di taman laut ini dengan keluasan 15 ekar sahaja.
Walaupun kecil, jangan pandang sebelah mata! Di sini anda boleh membuat aktiviti berenang, selam skuba, dan snorkeling sambil lihat keindahan pantai dan terumbu karang yang indah di dalam laut.
Hati-hati bila anda berada di pulau ini, takut kalau anda terkena dengan landak laut yang berbahaya.
4. Pulau Sapi
Pulau Sapi sangat popular dengan laluan alam semula jadinya yang menghala ke Pulau Gaya.
Semasa air laut surut, anda boleh berjalan di atas tebing pasir yang menghubungkan antara dua pulau ini sejauh 5 kilometer. Seronoknya!
5. Pulau Sulug
Sebuah pulau dengan garis pantai yang berbatu ini ialah pulau yang terletak paling jauh dari tanah besar berbanding dengan 4 pulau yang lain.
Pulau ini sangat unik kerana bentuknya yang mempunyai ludah pasir yang panjang menghadap ke Timur dan bentuk juram mendadak berhampiran terumbu karang yang luas.
Jadi, kalau nak buat aktiviti menyelam di pulau yang terpencil ini memang seronok!
Jadi itulah segala yang menarik tentang Taman Laut Tunku Abdul Rahman di Sabah.
Seronok betul membaca sambil membayangkan suasana sebenar di sana!
Bagi pencinta laut dan pencinta alam semula jadi, bolehlah datang ke Kota Kinabalu melawat pulau-pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman ini. Pasti jadi sebuah pengalaman yang sangat menyeronokkan!