Pulau Bohey Dulang Semporna, Syurga Aktiviti Hiking & Diving Tumpuan Pelancong Seluruh Dunia!

Sabah iaitu sebuah negeri di bawah bayu yang juga dikenali sebagai ‘Maldives Asia Tenggara’ kerana memiliki banyak pulau-pulau yang berlatarkan laut yang tenang, jernih, dan pantai berpasir putih di pulau tropika.

Sebut saja tentang Sabah, terus terbayang keindahan pulau-pulau di sana yang seakan-akan percutian di Pulau Maldives.

Kenapa perlu pergi jauh-jauh ke luar negara sedangkan anda boleh merasai pengalaman yang sama di negeri sendiri.

Pernah dengar tentang Pulau Bohey Dulang yang terletak di Semporna, Sabah?

Mestilah pernah kan, tempat itu adalah salah satu pulau percutian yang sangat terkenal di Malaysia!

Pulau Bohey Dulang juga digelar sebagai Pulau Mutiara kerana mempunyai pemandangan laut yang paling menakjubkan di Sabah.

Diving & Hiking di Bohey Dulang Island
Photo: sabahtourism.com

READ: Perkhidmatan Bas Express Ke Tawau

Jadi tidak hairanlah kalau Bohey Dulang menjadi tempat tumpuan para jurugambar terkenal dari seluruh dunia!

Pulau ini syurga kaki hiking.

Kalau anda nak tahu lagi, pulau ini adalah antara pulau yang memiliki ekologi marin yang terkaya di Malaysia!

Laut di sekitar Pulau Bohey Dulang didiami oleh banyak terumbu karang yang berwarna-warni dan ikan-ikan yang cantik, memberikan pemandangan bawah laut yang sangat menakjubkan kepada penyelam snorkeling dan diving.

Nak tahu apa lagi fakta menarik tentang Bohey Dulang? Kalau nak teruskan membaca!

Bohey Dulang adalah Pulau Kedua Terbesar di Taman Laut Tun Sakaran

Bohey Dulang adalah salah satu daripada 8 buah pulau yang membentuk Taman Laut Tun Sakaran di Borneo dan berkeluasan lebih daripada 313 hektar.

Hal menakjubkan tentang Bohey Dulang yang anda wajib tahu adalah, ia merupakan pulau pergunungan yang terbentuk daripada gunung berapi kira-kira 2.5 juta tahun dahulu!

Kecantikan pemandangan bentuk muka buminya juga sangat indah kerana dibanjiri air laut yang membiru, dan terdapat keunikan lagun bewarna biru nilam sedalam 25 meter.

Sesiapa sahaja yang melihat pemandangan tersebut pasti akan merasakan ketenangan dan kepuasan yang tidak terhingga!

Jika anda rasa pemandangan dari puncak adalah satu-satunya yang menarik tentang Bohey Dulang, anda silap!

Anda perlu melihat sendiri kepelbagaian terumbu karang, hidupan marin pelbagai spesies, tumbuh-tumbuhan yang unik, dan pelbagai spesies burung.

Aktiviti Hiking di Bohey Dulang

Macam-macam aktiviti di Bohey Dulang ni, ingatkan datang semata-mata untuk mandi laut saja, rupanya nak hiking pun boleh!

Aktiviti mendaki memang seronok kerana kita boleh berkomunikasi dengan alam semula jadi.

Semasa melalui laluan hiking ke viewpoint Bohey Dulang, anda akan disambut dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang unik dan menakjubkan!

Tapi anda jangan risau kerana untuk naik ke puncak pun ada disediakan laluan denai baharu yang berjarak 700 meter.

Walau pun laluan ini agak jauh, tetapi jalannya lebih landai berbanding laluan lama yang curam tetapi pendek.

Jadi kalau anda seorang yang suka aktiviti hiking dan menikmati keindahan kepulauan, datanglah ke Bohey Dulang dengan kawan-kawan!

Pemandangan Terbaik Kepulauan Adalah Di Bohey Dulang Viewpoint!

Pemandangan kepulauan dari puncak tertinggi Bohey Dulang adalah salah satu faktor utama yang menjadi tarikan para pengunjung ke pulau tersebut tidak kira oleh penduduk tempatan ataupun pelancong luar negara.

Usaha anda untuk naik ke puncak yang berputar sepanjang 700m ke puncak tidak akan sia-sia, kerana anda akan disambut dengan panorama lagun berwarna zamrud yang pernah menjadi sebahagian daripada kawah gunung berapi yang telah pupus.

Dari puncak Bohey Dulang pun anda boleh lihat dengan jelas betapa indahnya sekitar pulau yang dibajiri air laut ke kawah dari sisa-sisa gunung berapi purba dan didiami terumbu karang bewarna-warni di sekelilingnya.

Destinasi Wajib Bagi Pencinta Burung

Jika anda seorang suka melihat kepelbagaian spesies burung-burung, di Bohey Dulang lah tempat yang paling sesuai untuk anda!

Selain hidupan di bawah laut, Bohey Dulang juga menjadi habitat semula jadi bagi pelbagai spesies burung, contohnya burung enggang, ayam hutan, burung merpati-hutan metalik, burung babblers, burung merpati dan banyak lagi.

Kalau anda nak tahu, pada tahun 1933, Bohey Dulang pernah diisytiharkan sebagai tempat perlindungan burung, tetapi pada tahun 1978, statusnya telah dibatalkan untuk tujuan permulaan kepada penubuhan taman laut.

Mendengar bunyi kicauan burung-burung memang satu terapi minda yang sangat berkesan!

Bohey Dulang Adalah Habitat Kepelbagaian Flora

Tempat percutian di Bohey Dulang memang begitu sempurna, tidak cukup dengan keindahan pemandangan kepulauan dari puncak, air laut yang berwarna zamrud, kepelbagaian hidupan bawah laut, kepelbagaian spesies burung dan pusat jagaan kerang gergasi, kepelbagaian flora pun ada!

Di Borneo ada banyak spesies tumbuhan yang unik dan mungkin tidak pernah anda lihat sepanjang hidup anda, tetapi istimewanya di Bohey Dulang terdapat beberapa spesies tumbuhan yang hanya boleh dilihat di pulau ini dan tidak dapat ditemui di kawasan Borneo yang lain.

Antara spesies tumbuhan tersebut ialah Dracaena Multiflora Monocot, Paraboea Leopoldii, Lycas Rumphii, Euphorbia Lacei Dan Orkid Epifit.

Bohey Dulang memang menjadi syurga bagi pencinta alam semula jadi!

Snorkeling & Diving

Kalau pergi ke Pulau Bohey Dulang, memang tidak sah kalau tidak melakukan aktiviti snorkeling dan diving, wajib!

Untuk pengetahuan anda, Taman Laut Tun Sakaran terletak di Coral Triangle atau dipanggil Amazon of The Sea.

Di kawasan yang sangat besar inilah terletaknya salah satu zon ekologi hidupan laut terkaya di Malaysia dengan lebih 320 spesies karang keras dan lembut!

Jadi bayangkan kalau anda dapat menyelam ke dalamnya, anda akan melihat banyak batu karang dan ikan-ikan yang menakjubkan!

Keindahannya tidak cukup jika diucapkan melalui kata-kata sahaja, anda harus mengalaminya sendiri!

Mempunyai Nurseri Dan Pusat Penetasan Kerang Gergasi

Tempat macam ni pun ada juga? Ya! Jika anda berkunjung ke Bohey Dulang, percutian anda tidak akan lengkap jika anda tidak melawat ke Pusat Penetasan Kerang Gergasi.

Hanya di tempat ini anda dapat melihat spesies-spesies kerang yang jarang ditemui dan beberapa kerang gergasi yang terancam.

Di pusat jagaan inilah kerang gergasi yang jarang ditemui dibiakkan untuk mengelakkan kepupusan mereka.

Pengunjung boleh melihat dewan pameran dan tapak semaian kerang gergasi di mana 7 daripada 9 spesies kerang dunia ada disimpan di sini.

Memang rugi kalau anda lepaskan peluang ini!

Bohey Dulang Adalah Rumah Bagi Pelaut Nomad

Ada juga orang yang tinggal di Bohey Dulang? Sebenarnya mereka tinggal di taman laut berdekatan dan jumlah penduduknya pun tidak begitu ramai, kira-kira 2,000 orang sahaja.

Kebanyakan mereka ini adalah orang Bajau Laut yang hidup nomad.

Mereka ini memang hidup dan tinggal di rumah panggung yang mereka bina di atas laut dan rumah bot.

Penduduknya memang terkenal dengan cara pelayaran mereka, setiap hari mereka akan berniaga hasil tangkapan laut ataupun air kelapa dari atas bot mereka kepada para pengunjung.

Jika anda berada di Bohey Dulang, dapatlah anda melihat kehidupan dan bagaimana mereka mencari hasil pencarian sehari-hari secara lebih dekat.

Kesimpulannya, Bohey Dulang adalah pulau percutian yang anda wajib kunjungi di Sabah.

Pulau ini adalah pulau kedua yang terbesar di Taman Laut Tun Sakaran, Borneo.

Jadi kalau anda hendak ke pulau ini, ambillah masa bercuti lama sedikit, barulah puas nak jelajah seluruh pulau!

Jika anda mencari percutian yang boleh memberikan ketenangan jiwa dan suasana menakjubkan alam semula jadi, Bohey Dulang ialah tempat yang tepat untuk anda!