Peluang Pekerjaan SKM Tahap 3 Yang Boleh DiCeburi Selepas Tamat Kursus
Apa itu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 ?
Tahap 3 dalam Sijil Kemahiran Malaysia merujuk kepada tahap kemahiran yang lebih tinggi.
Biasanya, program SKM dibahagikan kepada beberapa tahap, dengan tahap 1 mewakili kemahiran asas, tahap 2 mewakili kemahiran sederhana, dan tahap 3 mewakili kemahiran yang lebih kompleks dan tinggi.
Ini bermaksud Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 adalah pengiktirafan kemahiran yang lebih tinggi daripada tahap 1 dan tahap 2.
READ: Syarat Kemasukan UTHM Lepasan Diploma Vokasional (PDF) Pelbagai Program Pengajian
Jika anda mempunyai SKM Tahap 3 ini, bermakna anda telah mendapat pengiktirafan rasmi atas kejayaan menyelesaikan latihan dan ujian dalam bidang kemahiran tertentu.
Jadi, apakah peluang pekerjaan yang boleh diceburi dengan kelayakan sijil SKM Tahap 3 ni?
Terdapat beberapa jenis pekerjaan yang mungkin sesuai untuk pemegang SKM Tahap 3, tetapi anda harus ingat bahawa peluang pekerjaan adalah berbeza-beza mengikut pasaran pekerjaan dan industri di sesuatu negara.
Beberapa pekerjaan berikut boleh menjadi peluang pekerjaan untuk pemegang SKM Tahap 3:
- Juruteknik Automatif
Pemegang SKM Tahap 3 dalam bidang mekanik kenderaan boleh bekerja sebagai mekanik dan juruteknik di bengkel servis atau pusat penyelenggaraan kenderaan.
Dengan pengetahuan dan kemahiran yang mendalam, anda boleh mendiagnos dan membaiki mana-mana kerosakan pada kenderaan.
2. Juruteknik Mekanikal
Pemegang SKM Tahap 3 dalam bidang kejuruteraan elektrik/elektronik, kejuruteraan mekanikal, sains polimer, atau mana-mana bidang yang setaraf sangat diperlukan dalam industri-industri perkilangan, pembuatan, dan sebagainya.
Segala kerja-kerja yang melibatkan pengubahsuaian dan penambahbaikan mesin memerlukan kepakaran daripada juruteknik mekanikal.
3. Jurukimpal
Industri-industri pembuatan, pembinaan logam, loji pemasangan mesin dan jentera, industri perabot dan kerja-kerja struktur pembinaan memberi peluang cerah kepada jurukimpal berkemahiran.
Jika anda memiliki SKM Tahap 3 dalam bidang kimpalan, peluang kerjaya ini adalah yang tepat untuk anda!
4. Juruteknik Elektrik
Jika anda memiliki SKM Tahap 3 dalam bidang elektrik, anda boleh menjadi juruteknik elektrik dalam industri pembinaan, penyelenggaraan elektrik, dan banyak lagi industri berkaitan.
5. Pegawai Kesihatan
Anda boleh menjadi pembantu perawat ataupun penjaga warga emas di rumah penjagaan kesihatan.
6. Profesion dalam Bidang Masakan
Bagi anda yang memiliki SKM Tahap 3 dalam bidang penyediaan dan pengeluaran makanan, anda boleh menjadi chef, perunding makanan, promoter makanan untuk syarikat makanan multinasional, penasihat syarikat makanan dan minuman, dan banyak lagi dalam bidang masakan.
Kesimpulannya, setiap bidang yang diceburi dan memiliki SKM Tahap 3 mempunyai peluang pekerjaannya masing-masing.
Walau bagaimana pun, penting juga untuk anda mencari maklumat tentang pasaran pekerjaan semasa, semak kekosongan pekerjaan di laman-laman web pekerjaan, dan berhubung dengan agensi-agensi pekerjaan tempatan untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan SKM Tahap 3 yang anda miliki.