Panduan Peluang Biasiswa Lepasan Asasi Ke Luar Negara
Menyambung pengajian ijazah di luar negara pasti menjadi keinginan semua pelajar termasuklah pelajar Asasi.
Mungkin ramai pelajar Asasi yang dilema dengan faktor kewangan untuk menyambung pengajian di luar negara.
Anda tidak perlu risau kerana terdapat beberapa institusi dan syarikat yang juga menyediakan biasiswa kepada pelajar kelayakan Asasi, bukan SPM dan STPM sahaja tau!
Berikut adalah beberapa jenis biasiswa yang mungkin boleh anda mohon mengikut kelayakan Asasi:
1. Biasiswa MyBrainSc
Pelajar yang ingin menyambung pengajian dalam bidang sains tulen adalah menjadi keutamaan bagi biasiswa MyBrainSc.
Anda boleh memohon biasiswa ini sekiranya sedang atau akan mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi, dan Matematik di Universiti Awam atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan universiti terkemuka luar negara.
Bidang pengajian yang dibiayai:
- Fizik
- Biologi
- Kimia
- Matematik
Syarat permohonan lepasan Asasi:
- Calon adalah warganegara Malaysia;
- Umur tidak melebihi 21 tahun pada 1 Januari 2024.
- Calon memperolehi sekurang-kurangnya PNGK 3.60 dan ke atas.
- Pelajar-pelajar yang berada di semester akhir di peringkat Asasi.
- Pelajar belum lagi menerima menerima sebarang biasiswa/ tajaan/ ikatan perjanjian dari mana-mana penaja.
Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai biasiswa dan cara permohonan, anda boleh pergi ke laman web BIASISWA MyBrainSc.
2. Biasiswa Top Glove
Anugerah biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang layak dan ingin melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan ataupun di universiti Taiwan terpilih.
Top Glove menetapkan syarat kelayakan bagi lepasan Asasi mendapat penganugerahan biasiswa ini adalah mendapat keputusan CGPA 3.5 dan ke atas.
Syarat lain adalah seperti berikut:
- Aktif dalam aktiviti kokurikulum atau sukan dan mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh.
- Mempunyai badan yang sihat dan fizikal yang tegap.
- Pemohon tidak boleh memegang biasiswa/pinjaman lain pada masa ini dengan tempoh ikatan daripada mana-mana perbadanan/Biasiswa atau badan kerajaan lain.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang biasiswa dan cara permohonan, anda boleh terus melayari laman web rasmi Biasiswa Top Glove.
3. Biasiswa Yayasan UEM
Biasiswa Yayasan UEM menyediakan biasiswa kepada lepasan asasi untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di universiti dalam dan luar negara.
Bagi syarat kelayakan lepasan asasi, anda mestilah mendapat PNGK minimum 3.50.
Bidang pengajian untuk biasiswa:
- Perniagaan (Kewangan/Pengurusan Perniagaan/Perakaunan/Ekonomi)
- Kejuruteraan (Awam/Mekanikal/Elektrik)
- IT dan Berkaitan Komputer (Sains Komputer, Sistem Komputer dan Rangkaian, Kejuruteraan Perisian, Sains Data, Kejuruteraan Data)
Maklumat lanjut tentang kelayakan serta terma dan syarat, anda boleh melayari laman web rasmi Biasiswa Yayasan UEM, manakala untuk permohonan klik di sini.
Biasiswa bagi kelayakan Asasi mungkin agak terhad, tetapi anda masih boleh membuat carian sendiri dengan lebih lanjut mengenai biasiswa yang ditawarkan oleh institusi dan oraganisasi lain.
Anda boleh merujuk pada laman web rasmi ataupun menghubungi mereka secara langsung untuk mengetahui tentang biasiswa-biasiswa yang ditawarkan.