Cameron Highlands:10 Aktiviti Wajib Buat & Penginapan
Cameron Highlands senarai 9 aktiviti wajib buat & penginapan sepanjang percutian di sana. Siapa saja yang tidak kenal dengan Cameron Highlands, sebuah destinasi percutian di Pahang yang sangat popular bukan sahaja di kalangan warga tempatan bahkan turut menjadi tumpuan pelancong dari luar negara yang berdatangan untuk melihat kecantikan flora & fauna yang ditawarkan di sini.
Sebelum ini kami ada tulis sedikit informasi mengenai panduan menaiki bas express ke Cameron Highlands dari pelbagai destinasi sebagai panduan anda.
Jika anda ingin berkunjung ke sana menggunakan perkhidmatan bas express, anda digalakkan membacanya untuk memudahkan anda.
Anda boleh book tiket bas ke Cameron Highlands secara online >> DI SINI
Cameron Highlands yang berpopulasi seramai lebih daripada 43 ribu penduduk mendapat namanya sempena William Cameron, peneroka British merangkap ahli geologi yang telah ditugaskan oleh kerajaan penjajah untuk memetakan kawasan sempadan Pahang-Perak pada tahun 1885.
Ia meliputi kawasan seluas 712,18 km persegi, seukuran dengan keluasan Republik Singapura. Berada pada ketinggian 1135m hingga 1829m di atas permukaan laut, Tanah Tinggi Cameron juga merupakan titik tertinggi di Malaysia yang boleh diakses melalui jalan raya melalui Gunung Brinchang yang berketinggian 2031m dari aras laut.
Di siang hari, suhu jarang meningkat melebihi 25°C manakala pada waktu malam pula, ia boleh menurun sehingga 9°C.
Terdapat empat jalan utama untuk menuju ke sini: dua melalui sebelah barat, iaitu dari Ipoh dan Tapah; dan dua lagi melalui timur semenanjung, dari Gua Musang dan Kuala Lipis.
Kawasan percutian tanah tinggi ini terletak di jalur penempatan penduduk yang sepanjang kira-kira 25 kilometer. Jika anda datang dari arah utara dan menghala ke selatan, anda akan melalui:
- Kampung Raja – salah satu pekan besar di Cameron; berhampiran dengan jalan
menuju Ipoh dan Gua Musang - Kuala Terla
- Taman Tringkap
- Kea Farm
- Brinchang
- Tanah Rata – Pekan utama bagi daerah ini
- Ringlet – sebuah lagi pekan yang besar; berdekat dengan jalan menuju Tapah
dan Kuala Lipis - Bertam Valley
Destinasi percutian ini sangat popular di kalangan pelancong domestik yang biasanya berkunjung di kala hujung minggu. Jadi untuk menikmati perjalanan yang kurang sesak, anda disarankan untuk datang pada hari bekerja.
Berkeliling
Daerah tanah tinggi ini mempunyai lapan kawasan kejiranan yang dipisahkan antara satu sama lain dengan jarak yang cukup jauh. Antara kawasan tumpuan yang biasanya padat dengan pengunjung adalah Tanah Rata dan Brinchang. Keduanya berjarak sekitar 4 kilometer.
Jika anda berkunjung ke Cameron dengan tidak membawa kenderaan sendiri, maka berjalan kaki adalah salah satu kaedah terbaik untuk bersiar-siar di sini.
Sekiranya anda tidak mahu berjalan kaki, terdapat perkhidmatan bas tempatan yang beroperasi pada setiap jam di antara stesen bas Tanah Rata – Brinchang – Kea Farm – Tringkap – Kuala Terla – Kampung Raja.
Bahagian luar bas ini berlabel The Regal Transport Co. Sdn. Bhd. di sepanjang sisinya. Perjalanan dari Tanah Rata ke Brinchang cuma memakan kos RM2, dan meningkat mengikut jarak.
Bas yang terakhir akan meninggalkan stesen pada pukul 6 petang setiap hari. Perhentian-perhentian bas di sini tidak bertanda, jadi tanyakan kepada penduduk tempatan di mana letaknya perhentian bas.
Selain itu, motosikal juga boleh disewa daripada beberapa guesthouse pada kadar tertentu dengan syarat anda harus memiliki lesen.
Aktiviti Menarik Untuk Pengunjung
Beberapa perusahaan pelancongan mempunyai cawangan berdekatan jalan utama di Tanah Rata. Mereka menawarkan pakej seperti trekking di hutan, melawat ladang teh, pergi ke Ipoh untuk melihat Kellie’s Castle, dan lain-lain lagi dengan harga yang rata-ratanya serupa.
Bagaimanapun, ada juga bayaran tambahan yang tidak termasuk dalam pakej seperti bayaran masuk ke muzium, tour untuk melihat Rafflesia, atau melawat Taman Rama-Rama. Pakej lawatan yang biasa diambil pengunjung adalah pada waktu pagi dan petang.
Lawatan malam juga disediakan oleh kebanyakan perusahaan tetapi ianya tidak popular, dan jika anda mahu menempah sebarang pakej lawatan waktu malam, pastikan anda berada dalam kumpulan 4 orang (atau 3 orang).
1. Pusat Teh BOH dan Perkebunan Sungai Palas – (ikuti jalan utama dari Brinchang menuju Kg Raja. Selepas Hotel Khatulistiwa, cari papan tanda dan kemudian belok kiri ke jalan bukit yang sempit.
Persimpangan itu menghadap deretan gerai yang menjual buah-buahan dan sayur-sayuran dari Kea Farm dan boleh dilalui dengan mudah).
Dibuka setiap hari dari Selasa hingga Ahad, tempat ini dikendalikan oleh syarikat teh terbesar di Malaysia. Terdapat lawatan yang membawa anda melihat pemprosesan teh di dalam kilang (sekitar 5-10 minit).
Selain itu, di sini juga terdapat studio pendidikan interaktif, kedai, dan kafe yang menghadap bukit bukau yang menakjubkan di tengah-tengah ladang teh yang hijau.
Jalan menuju ke Ladang Boh Sg Palas juga agak berliku-liku dan sempit, jadi berhati-hati jika anda membawa kenderaan.
2. Rainforest Adventure – Sekiranya anda inginkan aktiviti yang lebih mencabar jika anda bercuti di sana, cuba nikmati pemandangan ladang teh di Kuala Terla dengan menggunakan kenderaan lasak seperti 4×4, jeep ataupun ATV.
Perkhidmatan sewa kenderaan sebegini disediakan oleh Cameron Adventurous yang terletak di Kuala Terla & kira-kira 2km dari Lavender Garden.
Cameron Adventurous menawarkan 3 produk untuk pengunjung seperti 4×4 Safari (RM10/pax), ATV Safari (RM50) & Extreme ATV (RM65/pax).
3. Trekking – Trekking adalah salah satu aktiviti utama di tempat peranginan terkenal ini dan ramai orang datang ke sini dengan tujuan tersebut.
Terdapat banyak laluan trekking di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Setiap jalan punya berbeza-beza kesukaran. Laluan 1, 2, 3, 7, 8, 9 dan 14 lebih mencabar manakala laluan 4, 5, 6, dan 10 lebih mudah.
Anda juga mungkin berpeluang untuk bertemu dengan hidupan liar seperti burung, rama-rama dan ular di sepanjang laluan. Hormati alam dan jagalah kebersihan.
4. Mendaki Gunung Brinchang & Mossy Forest – Aktiviti menarik buat mereka yang ingin cuba menelusuri denai-denai menuju Puncak Gunung Brincang.
Ia merupakan kawasan tertinggi di Cameron Highland & dari sini anda boleh melihat panorama indah dari kawasan puncak bahkan boleh melihat bandaraya Ipoh dari menara tinjau.
Sesuai untuk ke sini pada waktu pagi & petang ketika matahari terbenam atau terbit. Mossy Forest juga sangat terkenal di Cameron Highland sebagai satu kawasan berhutan yang masih belum dirambah oleh pembangunan moden & turut pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem tempatan.
Jika anda bukan seseorang yang gemar meredah hutan, sebaiknya dapatkan khidmat pemandu pelancong di kawasan Tanah Rata untuk membawa anda ke sini menggunakan 4×4.
Pemandangan di sini dengan pokok-pokok rimba menghijau memang sangat luar biasa untuk dijumpai di tempat lain.
5. Gunung Irau – Merupakan gunung yang tertinggi di kawasan ini dan puncaknya berketinggian 2110 meter di atas paras laut.
Buat mereka yang ingin mendaki gunung dan berkhemah semalaman semasa berada di Cameron Highland, mungkin Gunung Irau adalah jawapannya.
Boleh dilakukan secara kendiri atau mengambil pakej yang ditawarkan oleh pengusaha pelancongan tempatan. Puncak Gunung Irau juga menawarkan pemandangan yang begitu epik!
6. Kelab Golf Sultan Ahmad Shah – Ia adalah lapangan 18 lubang yang indahmeskipun cuku mencabar dengan padang hijau dan medan yang sukar.
Jika anda berminat untuk bermain golf di sini, datang saja ke Kelab Golf Sultan Ahmad Shah yang terletak di antara Tanah Rata dan Brinchang.
8. Air Terjun – Terdapat dua air terjun iaitu Air Terjun Parit dan Air Terjun Robinson. Kedua-duanya berlokasi di Tanah Rata.
Air Terjun Parit agak tersembunyi di dalam kawasan Kampung Taman Sedia dan tidak begitu jauh jika berjalan kaki dari Tanah Rata.
Manakala Air Terjun Robinson pula memerlukan anda untuk berjalan sedikit jauh masuk ke dalam hutan dan ia sangat sesuai buat anda yang menggemari aktiviti jungle trekking.
9. Kebun Strawberi – Tanah Rata juga menempatkan dua kebun strawberi popular di Cameron Highlands iaitu YZ Agro Farm dan KHM Strawberries & Jam.
Kedua-duanya terletak di Kampung Taman Sedia dan diusahakan oleh bumiputera. Prasarana pelancong yang lengkap & akses kenderaan yang mudah adalah antara sebab mengapa anda harus tidak melepaskan kunjungan ke sini.
10. Time Tunnel Museum Muzium – Terowong Masa ini dibangunkan bagi mengekalkan memori bersejarah dan warisan budaya untuk Cameron Highands sendiri.
Ia terletak di Brinchang dan lokasi muzium ini juga berada di aras bawah Ladang Strawberi Kok Lim. Sebenarnya, muzium mempamerkan barangan koleksi peribadi See Kok Chan iaitu seorang penduduk tempatan.
Beliau merupakan seorang yang sukakan barangan antik dan berusia kerana semakin lama usia sesuatu koleksi barangan maka semakin berharga nilainya.
Jadi sekiranya anda ingin mengetahui lebih dalam sejarah tentang tempat-tempat menarik di Cameron Highlands, muzium ini memang layak untuk dilawati.
Penginapan
Mencari penginapan di zaman IT yang segalanya boleh diperolehi di hujung jari tidaklah sukar dengan lambakan laman sesawang untuk kita membuat tempah secara dalam talian.
Sebut sahaja OYO, Trivago, Agoda, Traveloka, Expedia, AirBnB, atau Booking.com, semua pelantar ini sudah tidak asing lagi buat mereka yang sudah biasa pergi bercuti.
Selain itu, aplikasi membeli belah dalam talian seperti Lazada, Shopee, dan Shopback juga turut mewujudkan option untuk pengguna membuat tempahan bilik.
Dalam keramaian pengunjung yang berdatangan ke Cameron Highlands di kala hujung minggu, tentu saja ada segelintir orang yang menghadapi masalah untuk mendapatkan homestay atau hotel untuk penginapan.
Jadi untuk memudahkan anda menikmati keseronokan bercuti di sana, ada beberapa tip yang boleh dilakukan:
- Hubungi pemilik homestay di Cameron Highlands dan buat tempahan awal. Itu adalah cara yang paling mudah tetapi bersedia untuk berdepan sedikit kerugian jikalau ingin menukar tempat penginapan kerana setiap tempahan biasanya perlu didahului dengan wang deposit. Perkara ini mungkin boleh terjadi sekiranya homestay yang anda tempah tidak seperti yang anda inginkan.
- Terus sahaja datang lakukan pencarian di mana-mana taman perumahan di sana. Biasanya terdapat banyak rumah atau apartment yang dijadikan homestay. Jika anda bernasib baik, anda juga akan mendapat tawaran yang lebih murah. JIka anda memilih untuk menggunakan cara ini, anda boleh cari di taman-taman perumahan yang berikut:
- Puncak Arabella Tanah Rata (berdekatan dengan Taman Agroteknologi MARDI)
- Taman Sedia (terletak di antara Tanah Rata dan Brinchang)
- Desa Anthurium Apartment
- Apartment Taman Royal Lily (Tanah Rata)
- Villa Dahlia (Tanah Rata)
- Kampung Melayu (Brinchang)
- Carnation Apartment (Tanah Rata)
- Taman Royal Lily (Tanah Rata)
- Dapatkan peta Cameron Highlands dari pejabat pengusaha pelancongan atau gunakan saja GPS di telefon pintar. Namun bagi pendapat saya sendiri, penggunaan peta lebih praktikal kerana ianya memang disediakan untuk menunjukkan tempat-tempat yang patut dilawati beserta kedudukan hotel dan taman-taman perumahan yang ada di Cameron Highlands.
- Bertanya saja secara langsung kepada warga Cameron Highlands. Penduduk tempatan sememangnya baik hati dan ramah serta bersedia membantu anda yang berkunjung ke sana untuk mendapatkan penginapan.
Itu sahaja sedikit sebanyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan dan tips mencari penginapan saat kunjungan anda ke destinasi percutian popular yang terletak di tanah tinggi ini.
Bagi yang mahu menyambung percutian, anda boleh menuju ke Ipoh, ibunegeri Perak yang terkenal dengan makanan tempatan dan seni bina kolonialnya.
Dapatkan bas yang menghala ke Ipoh di stesen bas Tanah Rata dengan kos yang bermula dari RM15 untuk perjalanan di awal pagi dan RM20 untuk bas yang lain pada waktu siang.
Buat yang mahu terus pulang ke ibu kota, bas menuju ke Kuala Lumpurjuga tersedia di stesen bas yang sama dengan kadar tambang sebanyak RM35.
Jika anda ada masa, anda boleh layari website rasmi Majlis Daerah Cameron Highlands untuk pelbagai informasi berkaitan dengan lebih terperinci.
Semoga sedikit informasi mengenai aktiviti dan tempat menarik bercuti di Cameron Highlands ini dapat membantu perancangan percutian anda sedikit sebanyak. Marilah bersama menyokong industri pelancongan tempatan kita di Malaysia.