Jemaah Haji Dilengkapi IPS Melalui Aplikasi MySejahtera

Jemaah haji dilengkapi IPS melalui MySejahtera

Jemaah haji tahun akan dibekalkan dangan International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera. Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan rawatan jika berlaku sebarang insiden semasa mengerjakan ibadah.

Demikian menurut kenyataan dan penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, IPS adalah satu transformasi digital Kementerian Kesihatan (KKM), membolehkan pengamal perubatan di Tanah Suci mengakses maklumat perubatan asas yang kritikal jemaah haji, dengan hanya mengimbas kod QR.

Ini sudah tentu sesuatu yang bagus untuk kebaikan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji kita.

“Menerusi IPS, segala info termasuklah sejarah kesihatan dan perubatan serta alahan jemaah haji dapat diakses oleh kerajaan Saudi, membolehkan rawatan langsung dapat dilakukan oleh pakar perubatan bertugas kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) KKM ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1445H/2024 di Putrajaya semalam.

Untuk tahun ini, seramai 279 petugas haji (perubatan) KKM dan tiga petugas haji (kebajikan), akan bertugas di Tanah Suci bermula 30 April ini, dan Dr Dzulkefly mengingatkan mereka untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi supaya jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan baik.

–Bernama