9 Kelebihan Masuk Tingkatan 6 Untuk Lepasan SPM
Bagi adik-adik Tingkatan 5 dan sedang menunggu keputusan SPM masing-masing, pasti bingung tentang soal melanjutkan pelajaran masing-masing.
Masa ini, selepas keputusan SPM keluar mesti banyak persoalan muncuk di benak anda, seribu satu informasi perlu diperhalusi dan dipertimbangkan.
Manakah tidak, ini melibatkan masa depan anda. Anda akan hidup dengan keputusan anda sepanjang hayat anda nanti.
Persoalan seperti, ke manakah haluan yang akan dibawa selepas ini? Nampak remeh tetapi ianya adalah yang terpenting perlu difikirkan.
Kebiasaanya, adik-adik akan diberikan pilihan sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, Matrikulasi, diploma, ataupun asasi.
Masing-masing pasti inginkan yang terbaik bagi masa depan yang cerah.
Jika adik-adik nak tahu, pilihan untuk menyambung ke Tingkatan 6 untuk mengikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah salah satu pilihan yang terbaik dan tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana pihak.
Jadi apa kelebihan Tingkatan 6 ni?
Mari kita sama-sama baca lebih lanjut.
- Ia adalah PERCUMA !
Bagi adik-adik yang tidak tahu ataupun baru tahu, untuk naik ke Tingkatan 6 adalah percuma sahaja, kecuali untuk beberapa yuran kecil sahaja seperti yuran buku dan peperiksaan.
STPM bermakna adik-adik akan berada di sekolah dan masih dibawah jagaan ibu bapa.
Cuba adik-adik fikirkan, anda telah meringankan beban kewangan mereka dan diri adik sendiri sementara kebanyakan pelajar lain sibuk berpindah ke tempat lain untuk menyambung pengajian mereka.
Tambahan pula, fikirkan tentang makanan percuma yang dimasak setiap hari di rumah adik-adik, sedangkan yang lain perlu ke luar untuk membeli makanan setiap hari.
Jika adik-adik memilih Tingkatan 6, adik-adik serba sedikit boleh membantu ibu bapa anda daripada menanggung kos perbelanjaan besar untuk pendidikan anak-anak mereka.
Jika adik-adik hendak tahu, pendidikan yang anda dapat di Tingkatan 6 adalah sama sahaja dengan orang lain diluar sana yang berbelanja ribuan ringgit sedangkan adik-adik mendapatkannya secara percuma sahaja!
2. STPM Diiktiraf Oleh Universiti Lokal Dan Antarabangsa
Adik-adik sangat bertuah jika memiliki STPM kerana anda layak memohon di mana sahaja institut pengajian tinggi sama ada di universiti awam, universiti swasta, dan universiti luar negara.
Jika adik-adik ingin tahu juga, STPM ini diiktiraf di seluruh dunia terutamanya di negara Komanwel.
Sijil STPM juga boleh digunakan untuk memohon pekerjaan sama ada kerja kerajaan mahupun swasta. Jadi memang beruntung jika adik-adik memilih Tingkatan 6.
3. Masa Pengajian Singkat
Tingkatan 6 adalah ‘express way’ untuk ke universiti kerana masa yang diambil hanyalah satu setengah tahun sahaja untuk 3 semester.
Jika dibandingakan dengan Diploma, ia mengambil masa sehingga 3 tahun untuk membolehkan adik-adik menyambung ke peringkat Ijazah.
Jadi jimat masa bukan? Selepas 1 tahun setengah di Tingkatan 6, adik-adik boleh terus mengambil Ijazah.
4. Sambung Ijazah Setelah Tamat STPM
Adik-adik yang ingin menyambung Ijazah, mestilah berusaha juga untuk mendapatkan keputusan yang baik dan cemerlang semasa di Tingkatan 6 tau!
Jika adik-adik mampu memperolehi pointer STPM 3.00 ke atas pun sudah sangat memuaskan.
Walau bagaimana pun, kelayakan pointer bagi kelulusan STPM untuk memasuki universiti tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan kelayakan lain seperti matrikulasi, diploma, dan asasi.
Jadi adik-adik tidak perlu terlalu risau, tetapi harus tetap berusaha untuk dapat keputusan yang cemerlang ya!
5. Peluang Mengulang Subjek Yang Gagal
Peluang tidak datang dua kali, tapi di Tingkatan 6 ini anda akan memperoleh peluang kedua tersebut.
Jika adik-adik memperoleh keputusan STPM yang kurang memuaskan bagi suatu subjek tersebut, adik-adik boleh mengambil peperikasaan ulangan untuk membaiki dan mencantikkan lagi keputusan peperiksaan anda.
Walau bagaimana pun, adik-adik hanya dibenarkan mengulang peperiksaan bagi Semester 1 dan Semester 2 sahaja, jadi pada Semester 3 adik-adik mesti menjawab peperiksaan dengan sehabis baik kerana tidak ada lagi peluang untuk peperiksaan ulangan.
6. Tugasan Kerja Kursus
Sistem pembelajaran Tingkatan 6 menghendaki pelajar untuk melakukan kerja kursus dengan bimbingan daripada guru-guru.
Tugasa kerja kursus yang diberikan akan sangat membantu pelajar apabila memasuki alam universiti nanti, kerana di Tingkatan 6 adik-adik telah didedahkan dengan cara sebenar membuat kerja kursus dan pembentangan hasil kerja.
Jadi mudahlah bagi adik-adik ketika membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah di universiti nanti.
Gred bagi kerja kursus juga akan diberikan oleh guru yang membimbing adik-adik, jadi buatlah dengan sebaik mungkin mengikut arahan guru okay!
7. Peluang Mendapatkan Biasiswa
Setiap usaha adik-adik yang membawa kecemerlangan pasti akan mendatangkan habuan di masa hadapan.
Jika adik-adik berjaya mendapat keputusan STPM yang cemerlang, adik-adik akan mudah untuk memohon biasiswa pelajaran atau tawaran biasiswa itu sendiri yang akan mencari adik-adik.
Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 dan ke atas sudah dikira sebagai pelajar dekan STPM.
Kalau adik-adik nak tahu, kerajaan ada meneruskan Program Penajaan Pelajar Cemerlang Lepasan STPM.
Program oleh kerajaan ini adalah khusus untuk pelajar cemerlang lepasan STPM yang akan melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama mereka di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Jadi berusahalah untuk capai pointer terbaik okay! Jadikan ini sebagai pembakar semangat adik-adik di Tingkatan 6 nanti.
8. Dapat Luangkan Masa Setahun Lagi Di Sekolah
Zaman persekolah adalah zaman yang terbaik dan paling seronok bagi kebanyakan orang sebelum mereka menginjak alam dewasa.
Kadangkala, adik-adik mungkin belum sedia untuk menghadapi perpisahan bersama kawan-kawan di sekolah menengah setelah tamat SPM.
Oleh itu, dengan naik ke Tingkatan 6 adik-adik masih mempunyai masa untuk berada di sekolah bersama rakan-rakan.
Selain boleh mengekalkan persahabatan dengan rakan-rakan yang lebih lama, guru-guru pendidik di Tingkatan 6 juga sangat baik dan boleh menjadi sangat akrab dengan anak-anak murid mereka.
9. Menyiapkan Diri Untuk Melanjutkan Pelajaran Ke Peringkat Ijazah
Berada di Tingakatan 6 boleh menjadikan adik-adik lebih matang dalam memikirkan masa depan dengan dorongan dan tunjuk ajar daripada guru-guru.
Ia juga memberi masa kepada adik-adik untuk membuat keputusan tentang minat yang ingin diceburi semasa memasuki universiti nanti.
Akhir sekali, tidak kira ke mana pun hala tuju adik-adik selepas SPM nanti, di penghujung hari segalanya adalah tentang bagaimana adik-adik memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman adik-adik selama di institusi pendidikan.
Dengan serba sedikit tentang kebaikan memasuki Tingkatan 6 tersebut, diharapkan adik-adik semakin terbuka hati untuk mengambil STPM setelah tamat SPM nanti. Semoga berjaya untuk adik-adik yang akan menamatkan zaman SPM di luar sana!