Apa Kelebihan Tingkatan Enam Berbading Diploma?
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai beberapa pilihan pengajian peringkat tinggi untuk menyambung pengajian.
Antara pilihan yang sering menjadi dilema para pelajar adalah menyambung Tingkatan Enam ataupun terus mengambil diploma di universiti.
Sering kali kita tertanya-tanya apa kelebihan Tingkatan 6 (STPM) berbanding diploma? Di sini kita nak kupas sedikit antara kedua aliran pengajian ini.
READ: Syarat Permohonan Latihan Separa Perubatan Lepasan SPM
Mungkin ramai pelajar yang ingin menyambung diploma kerana ingin merasai pengalaman belajar di universiti setelah tamat SPM.
Memang benar, tetapi anda juga boleh ke universiti setelah tamat STPM. Anda hanya perlu bersabar selama setahun setengah sahaja lagi.
Jika anda masih berbelah bahagi sama ada ingin memilih STPM atau pun diploma, beberapa senarai kelebihan STPM berikut mungkin boleh meyakinkan pilihan anda.
1. Tempoh Pengajian STPM Lebih Singkat
Tahukah anda bahawa Tingkatan Enam (STPM) dikenali sebagai ‘fast track’ untuk menyambung pengajian Ijazah di universiti.
Tempoh pengajian STPM lebih singkat iaitu 1 tahun setengah sahaja, manakala diploma mengambil masa 2 sehingga 3 tahun.
Jadi, dengan mengambil STPM, lebih cepat anda boleh menyambung Ijazah di universiti.
2. Syarat Kemasukan STPM Lebih Mudah
Nak masuk ke Tingkatan Enam lebih mudah daripada memohon diploma. Hal ini kerana pengambilan pelajar ditawarkan secara automatik kepada pelajar lepasan SPM sekiranya memenuhi syarat minimum iaitu mendapat keputusan SPM kepujian Bahasa Melayu dan syarat khas lain.
Sedangkan jika anda hendak memasuki diploma, anda perlu memohon melalui UPU.
Itu pun kalau permohonan anda ke universiti diterima, jika sebaliknya anda perlu membuat permohonan rayuan pula.
Walau bagaimanapun banyak juga pengajian peringkat diploma yang ditawarkan oleh kolej swasta yang boleh anda ikuti.
Sudah tentu yuran pengajiannya lebih mahal di IPTS berbanding di IPTA untuk ambil pengajian peringkat diploma.
3. Yuran Pengajian STPM Percuma
Yuran pengajian termasuk yuran peperiksaan bagi empat atau lima mata pelajaran STPM adalah PERCUMA sahaja bagi calon Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan, kecuali calon sekolah swasta dan persendirian individu.
Bagi diploma, pelajar perlu menjelaskan yuran pengajian semasa mendaftar dan ia bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan.
Bukan itu sahaja, pelajar perlu membayar kos-kos lain seperti kos penginapan, kos makan dan minum sendiri, dan sebagainya.
Jadi, keadaan ini memerlukan pelajar untuk memohon biasiswa sekiranya layak atau pembiayaan lain seperti PTPTN untuk menampung kos pengajian di universiti.
Kesimpulannya, lepasan SPM yang memilih untuk menyambung Tingkatan Enam mendapat kelebihan dari segi tempoh masa pengajian, mudah untuk menyertai, dan yuran pengajian yang percuma.
Pilihan Diploma memang tidak mempunyai kelebihan dari aspek tersebut, tetapi anda boleh sahaja memilih diploma jika anda ingin mempelajari sesuatu bidang pengkhususan yang tidak ditawarkan di peringkat STPM.
Anda bebas untuk memilih pilihan yang anda rasa terbaik untuk hala tuju dan masa depan kerjaya masing-masing.