Syarat Permohonan Latihan Separa Perubatan Lepasan SPM

Ingin menceburi bidang perubatan? Mengapa tidak menyertai latihan separa perubatan? Calon-calon yang telah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau SPM (V) boleh berpeluang untuk membuat permohonan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia bagi menyertai Latihan Separa Perubatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Lebih-lebih lagi, graduan daripada program ini juga diberikan peluang untuk dilantik secara tetap atau kontrak dalam skema perkhidmatan yang berkaitan di dalam sektor perkhidmatan awam.

READ: Asasi vs STPM, Diploma & Matrikulasi Pilihan Hala Tuju Selepas SPM

Dalam artikel ini, kita akan menyelami maklumat terkini berkaitan syarat-syarat kelayakan bagi program ini yang ditetapkan oleh SPA.

Jenis Latihan Separa Perubatan

Pengambilan bagi program Latihan Separa Perubatan diadakan dua kali setahun, iaitu untuk bagi kemasukan pada bulan Januari dan Julai.

Terdapat dua kategori Latihan Separa Perubatan yang disediakan, iaitu:

  • Latihan Separa Perubatan berperingkat Diploma (3 Tahun)
  • Latihan Separa Perubatan peringkat Sijil (2 Tahun)

Syarat kelayakan

Terdapat beberapa syarat kelayakan umum yang perlu dipenuhi oleh para pemohon bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam proses permohonan.

  1. Calon merupakan warganegara Malaysia
  2. Calon wajib memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan;
  3. Calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya kepujian (Gred C) dalam subjek bahasa Melayu semasa berada di peringkat SPM/SPM(V);
  4. Calon perlu memenuhi syarat kelayakan akademik minimum di peringkat SPM/SPM(V) mengikut jenis Latihan Separa Perubatan yang dipilih.

Kategori Umur

  1. Para calon perlu dari kalangan lepasan SPM/ SPMV serta berumur antara 17-25 tahun pada sesi pengajian.
  2. Pemohon yang merupakan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) dalam Perkhidmatan Awam Am Persekutuan yang layak dipertimbangkan bagi Peningkatan Secara Lantikan (PSL):
    • Mesti berusia tidak melebihi 51 tahun pada sesi pengajian.
    • Memiliki pengalaman berkhidmat sekurang-kurangnya empat (4) tahun dan telah disahkan dalam perkhidmatan.
    • Mempunyai prestasi cemerlang dengan purata markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tiga (3) tahun terakhir berturut-turut tidak kurang daripada 85% (penilaian genap 12 bulan bagi setiap tahun).
  3. Para pemohon yang merupakan PSB dalam mana-mana skim perkhidmatan lain dalam Perkhidmatan Awam/Badan Berkanun/Pihak Berkuasa Tempatan.
    • Pemohon berusia tidak melebihi 38 tahun pada sesi pengajian.
    • Pemohon telah berkhidmat minima empat (4) tahun dan telah disahkan dalam perkhidmatan.
    • Menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan purata markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) selama tiga (3) tahun berturut-turut tidak kurang daripada 85% (penilaian genap setiap 12 bulan).

Jenis Latihan Separa Perubatan

Terdapat 10 jenis latihan separa perubatan bertaraf diploma manakala, 2 jenis latihan separa perubatan bertaraf sijil.

Program latihan peringkat diploma yang disediakan, termasuk latihan untuk jururawat, pegawai perubatan, pegawai kesihatan persekitaran, juru X-Ray (diagnostik/terapi), jurupulih perubatan fisioterapi, jurupulih perubatan cara kerja, juruteknologi makmal perubatan, pegawai farmasi, juruteknologi pergigian (sesi pengambilan Julai sahaja), dan juruterapi pergigian (sesi pengambilan Julai sahaja).

Manakala, peringkat sijil merangkumi pembantu kesihatan awam serta pembantu pembedahan pergigian.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan terperinci bagi setiap program diminati boleh didapati di portal SPA.

Cara Memohon

Permohonan bagi program ini boleh dilakukan di portal SPA9 menggunakan pautan di bawah:

Portal SPA

SPA9 - Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ( SPA9)

Semasa memohon, pastikan anda menyemak dengan teliti syarat kelayakan kursus yang ingin dipohon untuk mengelak sebarang kesilapan semasa membuat permohonan.

Kepada yang memohon kami ucapkan all the best!