Lesen Memandu Hilang? Kekal Tenang! Ini Yang Anda Perlu Lakukan
Pernahkah anda kehilangan lesen memandu anda? Ia boleh sahaja hilang tanpa disedari ketika keluar berjalan-jalan bersama kawan, makan di restoran, bahkan ketika sedang mendaki di dalam hutan.
Lesen memandu ini sama pentingnya seperti kad pengenalan anda. Memandu kenderaan tanpa lesen memandu adalah sama seperti memandu secara haram dan salah disisi undang-undang jalan raya.
Anda pasti tidak mahu disaman oleh pihak berkuasa dan terpaksa membayar kompaun kan?
Kompaun yang dikenakan pun bukan sikit, jadi segeralah ambil tindakan apabila mendapati lesen memandu anda hilang ya!
Bukan kes hilang sahaja, lesen tamat tempoh ataupun terlupa bawa semasa memandu pun dikira kesalahan.
Jadi apa yang anda harus lakukan apabila lesen memandu anda hilang? Mari baca lebih lanjut.
Buat Lesen Memandu Baharu Dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ)
Sebagai rakyat Malaysia pasti tahu apa itu JPJ kan? Merekalah yang sentiasa memantau keadaan lalu lintas agar sentiasa selamat.
Jika lesen memandu anda hilang, anda boleh berurusan dengan mana-mana cawangan JPJ terdekat untuk membuat lesen baharu.
JPJ menyediakan perkhidmatan kaunter untuk pelesenan kenderaan dan pemandu. Untuk memudahkan anda, anda boleh ikuti beberapa panduan berikut:
1. Datang ke mana-mana cawangan JPJ berdekatan dengan membawa beberapa dokumen berikut:
- Borang permohonan penggantian lesen (JPJ L1). Borang ini boleh didapati di kaunter JPJ.
- Kad pengenalan
- Salinan lesen memandu (sekiranya ada)
2. Ambil nombor giliran dan tunggu sehingga dipanggil. Pastikan masa ini anda telah melengkapkan borang JPJ L1.
3. Sediakan wang bayaran untuk memohon lesen memandu baharu.
4. Apabila anda sedang berada di kaunter, maklumkan kepada pegawai yang bertugas bahawa anda telah kehilangan lesen memandu dan ingin membuat lesen yang baharu.
5. Tunggu sehingga lesen memandu anda yang baharu selesai dicetak. Selalunya masa mencetak tidak lama, mungkin hanya mengambil masa 5-10 minit.
Berapa denda yang perlu dibayar jika lesen memandu hilang atau rosak?
Sebenarnya, tiada sebarang denda dikenakan sekiranya kehilangan lesen memandu, tetapi anda tetap perlu membayar sebanyak RM20 untuk kos cetakkan semula lesen memandu yang baharu.
Berapa Kadar Bayaran Pembaharuan Lesen Memandu?
Sekiranya lesen memandu anda hampir tamah tempoh sah, anda boleh melanjutkannya dengan membuat pembaharuan.
Kadar bayaran adalah mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Kadar Bayaran Bagi Warganegara Lesen CDL:
- Kelas A/A1 – RM2/tahun
- Kelas B2 (tunggal)/B/C – RM20/tahun
- Kelas D/E/F/G/H/I – RM30/tahun
Sebagai maklumat tambahan untuk anda, tempoh maksimum pembaharuan lesen memandu adalah 5 tahun sahaja iaitu sebanyak RM150.
Jadi anda boleh gunakan lesen anda selama 5 tahun tanpa perlu memperbaharuinya setiap tahun.
Walau bagaimana pun, ianya bergantung pada bajet anda juga, ikutlah kemampuan anda.
Bagi kadar bayaran jenis lesen yang lain, anda boleh rujuk di pautan Kadar Bayaran Urusniaga Lesen Memandu.
Perlukah laporkan kepada polis tentang kehilangan lesen memandu?
Keadaan ini memberi anda 2 pilihan iaitu:
1. Keadaan pertama
Sekiranya anda perlu memandu setelah baru kehilangan lesen, tetapi tidak mempunyai masa untuk membuat lesen yang baharu, maka anda perlu membuat laporan polis untuk mendapat kebenaran memandu tanpa lesen CDL.
Tapi anda perlu ingat, masa kebenaran yang diberikan adalah sehingga 1 sehingga 2 minggu sahaja.
Pastikan anda sentiasa membawa surat kebenaran daripada polis setiap kali memandu.
2. Keadaan kedua
Jika anda tidak ada keperluan mendesak untuk memandu dalam masa yang terdekat setelah kehilangan lesen memandu, maka anda tidak perlu membuat laporan polis.
Penyelesaian Jika Kad Pengenalan Dan Lesen Memandu Hilang Pada Masa Yang Sama
Bagaimana nak buat lesen baharu kalau kad pengenalan pun hilang? Rumit betul keadaan ini, tapi benda pun dah hilang jadi kena cari penyelesaian juga kan?
Penyelesaian bagi masalah ini adalah, pertama sekali anda perlu membuat kad pengenalan yang baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Setelah itu, barulah anda boleh pergi ke JPJ untuk mendapatkan lesen memandu yang baharu.
Banyak juga kos yang perlu ditanggung, jadi sebaiknya jagalah dokumen-dokumen penting anda ya!
Sekiranya anda menemui lesen memandu seseorang, apa yang anda harus lakukan?
Pernah tak anda terjumpa lesen memandu orang lain di mana-mana tempat.
Seseorang mungkin tidak sengaja tercicir atau tertinggal lesen memandu mereka sehingga lupa keberadaannya.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan prihatin, anda perlu melaporkan hal tersebut di balai polis berhampiran.
Anda pun tahu kan betapa pentingnya dokumen tersebut, pasti pemilik yang kehilangan lesen memandu tersebut sedang risau dan tercari-cari.
Tanpa lesen memandu, anda akan merasa kurang selesa ketika memandu kerana anda sedar perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan kompaun jika didapati bersalah.
Kesimpulannya, dokumen lesen memandu sangat penting dan wajib dimiliki oleh semua pemandu.
Jadi anda perlulah menjaganya dengan baik dan tidak cuai sehingga menghilangkannya. Jika hilang, banyak lagi masalah dan urusan yang anda perlu hadapi.
Menggantikan lesen yang baharu pun memerlukan pembayaran, sedangkan anda boleh gunakan duit tersebut untuk benda yang lebih berguna.
Walau apa pun, semua manusia itu tidak lepas dari sifat kecuaian. Semoga urusan anda yang ingin menguruskan kehilangan lesen memandu mereka dipermudahkan sehingga selesai.