Permohonan ePengambilan & Syarat Kemasukan Perajurit Muda Tentera Darat

Adakah anda pernah bercita-cita untuk menyertai pasukan tentera/ perajurit darat Malaysia untuk membela negara?

Tentera Darat Malaysia terus membuka peluang kepada warga Malaysia yang bersemangat dan berdedikasi untuk menyertai barisan pertahanan negara.

Kali ini kita kongsi informasi mengenai syarat kemasukan perajurit muda tentera darat Malaysia bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita.

Jadi, mari kita teruskan dan ketahui apa yang diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pertahanan terunggul Malaysia.

Senarai syarat kelayakan memasuki perajurit muda Tentera Darat Malaysia

Sumber: mod.gov.my

Syarat Asas Permohonan

Berikut merupakan syarat kelayakan asas yang perlu dipenuhi oleh para calon berminat:

  1. Calon mesti merupakan warganegara Malaysia.
  2. Calon perlu berumur 18 tahun dan tidak boleh melebihi 25 tahun pada tarikh angkat sumpah.
  3. Calon perlu memiliki penglihatan baik dan jelas tanpa memakai cermin mata atau kanta lekap. Calon turut tidak boleh mempunyai rabun warna.
  4. Calon berminat perlu mempunyai tahap pendengaran baik tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran.
  5. Mempunyai tahap kecergasan jasmani yang baik.
  6. Calon perlu mempunyai keadaan kesihatan baik, tiada kecacatan anggota badan, belum pernah mengalami kecederaan serius seperti patah tulang, bebas dari penyakit kronik, dan tiada sejarah penyakit keturunan.
  7. Calon tidak boleh mempunyai rekod kesalahan jenayahserta penyalahgunaan dadah.

Syarat kelayakan Akademik

Para calon berminat perlu mempunyai sijil SPM/SPVM/SKM atau kelayakan setaraf dengannya, dan turut perlu lulus dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.

Syarat fizikal

Para calon berminat wajib melepasi syarat fizikal bagi memasuki jawatan ini.

  1. Tinggi: Ukuran tinggi minima bagi lelaki dan wanita ialah 1.62m dan 1.57m
  2. Berat badan: berat badan minima bagi lelaki dan wanita ialah 47.5kg dan 40.5 kg masing-masing.
  3. Indeks Jisim Badan (IMB) bagi lelaki dan wanita perlu di antara 18 hingga 26.

Skim gaji berdasarkan kelayakan akademik

Gaji ditawarkan bagi jawatan ini berdasarkan kelayakan akademik.

  • SPM – Kelayakan minimum adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diterima oleh Kerajaan sebagai setaraf dengannya (Gaji permulaan: RM1,564.00)
  • SVM – Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan. (Gaji permulaan: RM1,564.00)
  • SKM Tahap 2 – Gabungan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan. (Gaji permulaan: RM1,630.01)
  • SKM Tahap 3 – Gabungan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan. (Gaji permulaan: RM1,696.02)
  • Sijil Tinggi Agama Malaysia- Sijil Tinggi Agama Malaysia atau kelayakan setaraf diiktiraf oleh kerajaan. (Gaji permulaan: RM 1762.03)
  • Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia-Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau pencapaian setaraf oleh kerajaan dengan memperoleh prinsipal dalam matapelajaran Syariah, Usuluddin atau bahasa Arab pada peringkat peperiksaan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan: RM 1762.03)
  • Diploma Tahfiz Al-Quran/Pengajian Islam – Diploma dalam bidang Tahfiz Al-Quran/Pengajian Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan: RM1,828.04)
  • Diploma Kejuruteraan – Diploma dalam bidang kejuruteraan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan: RM2,026.07)

Cara Permohonan

Segala permohonan boleh dilakukan secara atas talian menggunakan pautan di bawah ini.

Calon dinasihatkan untuk memahami syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan dan memastikan mereka memenuhi syarat-syarat tersebut.

Setiap calon dibenarkan untuk mengemukakan hanya satu (1) permohonan.

Calon yang berjaya melalui pemilihan akhir akan diberitahu melalui akaun Pendaftaran Baru atau Daftar Masuk yang mereka telah daftarkan.

Permohonan masuk e Pengambilan Tentera Darat : https://mims.mod.gov.my/sppmtd/

Portal: https://jmt.mod.gov.my/

Maklumat perhubungan:

Bagi sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi nombor talian di bawah untuk maklumat lanjut.

Nombor telefon: 03-40140470/ 03-40140467/ 03-40140468 (Isnin-Jumaat, 9am-4pm)

All the best!