Sapulut Sabah: Cerita Kehidupan Di Daerah Terpencil

Sapulut Sabah – Seharian di daerah Sapulut yang indah adalah santai serta tidak begitu rumit, dan komuniti yang tinggal di sini mahukannya terus berjalan seperti itu. Mereka sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke tempat mereka, yang terletak di bahagian terpencil negeri Sabah, untuk menunjukkan kepada orang luar cara hidup sehari-hari penduduk suku Murut.

Saya telah berkesempatan ke Sabah pada 2017 dan mengembara ke sini untuk mendalami serta mengalami sendiri pengalaman itu.

Anda boleh book tiket bas online ke Sapulut Sabah>> DI SINI

Di sebuah kawasan air terjun yang jernih, saya mengapungkan diri sambil memejamkan mata. Di atas saya, kanopi hutan seakan menutup pandangan saya untuk melihat langit yang membiru.

Udara di sini terasa dingin, sekaligus memberikan saya kelegaan daripada terik matahari tropika, dan justeru saya terbuai oleh siulan kicau burung yang terdengar kejauhan.

Di sini, aliran waktu seperti melambat. “Inilah kehidupan yang sesungguhnya,” kata saya dalam hati, sambil merasa sedikit iri dengan rutin tuan rumah saya yang datang ke air terjun ini pada setiap hari untuk mandi.

Di daerah Sapulut yang terpencil di Sabah, orang-orang hidup dengan penuh kesederhanaan – bertani, berburu, bertukang, dan memancing, sekaligus menikmati keindahan alam semulajadi di kawasan mereka.

Namun begitu kedamaian itu kian terancam, kerana hadirnya syarikat-syarikat pembalakan haram yang sudah mulai menjarah hutan-hutan utama di sekitar Borneo, sedikit demi sedikit.

Keluarga Gunting – yang menjadi tuan rumah saya di sini – tidak mahu membiarkan perihal itu terjadi di Sapulut. Lalu mereka menjalankan satu inisiatif projek kemasyarakatan untuk mendorong penduduk desa menanam tanaman yang mampu melestarikan hutan dan bukannya meluaskan perkebunan kelapa sawit yang merosakkan alam sekitar.

Selain itu pada masa yang sama, projek ini turut menggerakkan industri pelancongan berskala kecil dengan harapan masyarakat setempat akan memahami nilai-nilai daripada pelestarian landskap.

Dan itulah sebabnya mengapa saya mengembara ke sini, kerana untuk meneroka keindahan alam semula jadi di daerah yang jarang dikunjungi dan menginap bersama keluarga Gunting – untuk merasai sendiri kehidupan warga pribumi.

Bukit Batu Punggul

Antara aktiviti menarik untuk dilakukan di daerah Sapulut Sabah adalah menawan puncak sebuah bukit yang menembus hutan. Bukit ini dinamakan Batu Punggul. Ia mendapat nama daripada sebuah kisah legenda tempatan: berdasarkan mitos rakyat Murut, Batu Punggul berasal daripada sebuah rumah panjang yang disumpah menjadi batu.

Mujur saja kawasan bukit ini terlindung daripada pembangunan yang berlebihan kerana faktor lokasinya yang jauh dan terpencil.

Untuk sampai ke sini, saya bersama beberapa pengunjung lain harus melakukan perjalanan masuk ke dalam hutan, sehingga dekat dengan perbatasan Indonesia.

Perjalanan bermula dengan menaiki jip 4X4 melalui trek yang rosak, kemudian beralih kepada bot panjang yang membawa kami menyusuri sungai Sapulut.

Ketika bot yang kami naiki mulai menghampiri Batu Punggul, terlihat puncak tunggal itu perlahan-lahan muncul dari kejauhan, megah berdiri sendirian menembus flora hutan.

Batu kapur setinggi kira-kira 120 meter itu adalah raksasa yang akan kami daki – tanpa sebarang abah-abah… Selepas berjalan kaki sejauh beberapa ratus meter ke dalam hutan, kami akhirnya sampai di kaki bukit Batu Punggul.

Pemandu kami adalah orang yang pertama melakukan pendakian sambil diekori oleh peserta lain. Dia tahu setiap jurang, dan menunjukkan pijakan semula jadi kepada semua orang yang berada dibelakangnya.

Setelah mendaki beberapa puluh meter ke atas, kami dinasihatkan supaya tidak memandang ke bawah – kerana barisan batu-batu yang tajam dan tegak dibawah boleh membuatkan pendaki merasa takut dan gayat.

Puncak Batu Punggul adalah puncak yang sempit. Ketika kami tiba di atas, kami hanya duduk sambil menikmati pemandangan yang menakjubkan: hamparan hutan hujan yang membentang ke semua arah tanpa ada sebarang pembangunan moden.

Alangkah sayangnya jika hutan setebal ini diratakan oleh pembalak suatu hari nanti.

Namun, perkara itu mungkin tidak akan terjadi kerana kawasan sekitar Batu Punggul telah ditetapkan sebagai kawasan perlindungan – hasil usaha daripada projek keluarga Gunting untuk mendapatkan status tersebut.

Perjalanan pulang kami juga tidak kurang seronoknya: kami terapung santai sambil berenang di sepanjang laluan sungai yang jaraknya hampir satu batu.

Hanya kami bersama alam dan sungainya yang mengalir lembut di hutan Borneo – mungkin inilah sebabnya mengapa Batu Punggul sangat istimewa bagi orang Murut.

Keindahan Semulajadi Di Bawah Bumi

Sapulut juga mempunyai tarikan semula jadi di perut buminya. Gua Tinahas adalah harta karun daripada karya seni geologi dan spesies bawah tanah.

Ia juga merupakan syurga bagi burung walit, yang mana sarangnya dihasilkan menggunakan air liur burung itu sendiri – menjadikannya sebagai ramuan yang sangat diperlukan untuk membuat sup sarang burung.

Hidangan ini dipercayai mampu meningkatkan kesihatan seksual bagi orang-orang di kebanyakan negara Asia, di mana sarang burung ini mampu dijual pada harga 1000 dollar sekilogram di pasaran gelap.

Oleh yang demikian, Tinahas menjadi sasaran utama bagi pencuri sarang burung dan aktiviti memandu pelancong ke gua ini membolehkan keluarga Gunting menggunakan kesempatan itu untuk memeriksa keadaan sarang burung walit di gua ini secara kerap.

Kami dibawa berjalan melalui sebuah terowong yang menuju ke bawah tanah. Dengan memakai kasut (kampung) getah, kami merentasi kawasan perairan yang setinggi buku lali sambil diminta berwaspada sekiranya terdapat haiwan berbisa di sekeliling.

Tidak lama kemudian, kami menyaksikan sebuah pemandangan yang menakjubkan: ribuan kelawar terbang berpusing-pusing di bumbung gua yang tinggi dalam hiruk-pikuk; sayap yang mengepak dan menjerit seperti ratusan manusia sedang berborak.

Lebih dalam ke bawah tanah, perut gua mula semakin meluas lalu menampakkan barisan stalagmit dan stalaktit – formasi semula jadi batuan runcing di dalam gua yang memakan masa selama ribuan tahun untuk terbentuk.

Pelestarian Tanah

Trip kami berakhir di rumah panjang keluarga Gunting. Ia berada di lokasi yang indah, dengan halaman rumput yang masih asli, beserta pemandangan ladang tanaman milik warga desa.

Ini adalah rumah Richard Gunting bersama keluarga besarnya, di mana kehidupan tampaknya berjalan dalam kebahagiaan sebuah desa.

Anak lelaki sulung Richard, Virgil menunjukkan kepada kami perkebunan milik keluarganya yang sederhana, di mana mereka menanam tanaman yang saling bermanfaat bagi mereka dan pembangunan sosioekonomi.

Tujuannya jelas; untuk menunjukkan kepada penduduk desa berdekatan bahawa dengan melakukan aktiviti pertanian berskala kecil – dan tidak menjual tanah milik mereka kepada syarikat perladangan kelapa sawit – mereka tetap akan mempunyai penghasilan yang mencukupi untuk memberi makan diri mereka sendiri serta memperolehi keuntungan pada masa yang sama untuk meneruskan kehidupan.

Kekayaan budaya Murut turut diperlihatkan dengan cara yang tradisional. Misalnya, penghormatan tertinggi bagi orang yang datang bertamu ke rumah mereka.

Dalam tradisi ini, tetamu akan dijamu terlebih dahulu, diikuti oleh ahli keluarga yang tertua sehingga ahli keluarga termuda. Kami dihidangkan dengan hidangan yang lazat, seperti rusa (diburu oleh Richard sendiri), ikan cermin bersama cili dan bawang putih, paku pakis hutan, jantung pisang beserta nasi.

Usai makan malam, acara hiburan pun dimulai. Sebuah kumpulan muzik etnik memainkan irama asli yang memukau dengan paluan gong lalu keluarlah anak-anak muda yang memakai pakaian bermanik dan kostum pahlawan kaum Murut. Para penari ini melakukan tarian yang gemalai dengan gerakan tangan yang elegan disusuli dengan gerakan yang memerlukan mereka bertingkah kaki di antara batang buluh yang bergerak pantas.

Saat saya merenungkan kembali perjalanan di Sapulut Sabah ketika kembali ke kota pada keesokan harinya, saya amat mengharapkan tradisi dan gaya hidup kaum Murut akan terus terpelihara tanpa dihembus angin perubahan. Dan saya juga berharap kesederhanaan mereka dalam menjalani kehidupan dapat saya implementasikan ke dalam hidup saya sendiri.- Oleh Sharifuddin Lennon