Syarat Permohonan SejaTi Madani & Cara Memohon
Program Sejahtera Komuniti MADANI atau singkatannya (SejaTi MADANI) adalah program atau inisiatif terkini Kerajaan MADANI bagi tujuan membantu untuk merancakkan ekonomi di peringkat komuniti.
Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan rakyat. Pemberian Dana sehingga RM100 ribu diperuntukkan untuk komuniti yang layak.
Syarat Kelayakan Permohonan
Berikut adalah syarat kelayakan permohonan SejaTi Madani secara ringkas untuk panduan umum sahaja.
- Program yang akan dilaksanakan hendaklah program atau aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat yang terlibat.
- Pilihan aktiviti ekonomi yang hendak dipohon mestilah dari lima sektor utama serta bersifat quick win
- pertanian dan makanan
- jahitan dan kraf tangan
- herba dan kesihatan
- pelancongan dan hospitaliti
- aktiviti hijau dan kitar semula
- Program ekonomi yang dilaksanakan mampu membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat di antara tiga (3) hingga enam (6) bulan.
Program Yang Tidak Layak Untuk Memohon
Berikut adalah program yang tidak layak untuk dipertimbangkan untuk kelulusan melalui inisiatif SejaTi Madani
- Permohonan program yang melibatkan aktiviti pembangunan fizikal dan infrastruktur.
- Program yang dimiliki oleh individu
- Program yang tidak menepati skop Program SejaTi MADANI
- Program yang boleh menimbulkan isu sensitif berkaitan agama dan kaum tidak layak dipertimbangkan.
Cara Memohon
Terdapat dua (2) saluran untuk memohon inisiatif SejaTi Madani
- Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui sistem MySejaTi MADANI.
- Bagi komuniti yang tidak mempunyai capaian internet, permohonan secara manual juga boleh dibuat di Pejabat Pembangunan Negeri (PPN), Pejabat Daerah, Pejabat Residen, atau Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Inisiatif ini jika berjaya dilaksanakan semestinya mampu meningkatkan taraf hidup sosioekonomi komuniti setempat.