Pengurangan Bayaran Premium Tanah Perak Untuk Golongan Miskin Tegar & OKU

Ini berita baik untuk golongan miskin tegar dan OKU di Perak. Harap berita ini akan membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh kedua golongan ini.

Baru-baru ini YAB Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak mengumumkan inisiatif pengurangan bayaran premium tanah di Perak untuk golongan miskin tegar dan OKU.

“Kerajaan Negeri memahami dan sentiasa prihatin kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan untuk membayar kadar premium tanah yang tinggi”

READ: TNB Prime Scholarship Yayasan Tenaga Nasional Bagi Program Di IPTA

Inisiatif pengurangan bayaran premium tanah bagi golongan miskin tegar dan OKU di Perak
Sumber: J-KOM

Menerusi inisiatif ini individu yang benar-benar layak di bawah kategori miskin tegar atau Orang Kurang Upaya (OKU) boleh membuat permohon bagi pengurangan bayaran premium pemilikan tanah di Perak.

PTG juga telah menambahbaik Proses Tukar Syarat dan Pecah Sempadan Serentak, Serah Balik dan Milik Semula, serta Pecah Sempadan.

Penambahbaikan ini telah memendekkan tempoh untuk memproses permohonan di antara 20 ke 30 hari berbanding tempoh lebih panjang sebelum ini.

Anda boleh rujuk juga laporan dari Astro Awani di bawah

IPOH: Individu yang benar-benar layak di bawah kategori miskin tegar atau Orang Kurang Upaya (OKU) boleh membuat permohonan bagi pengurangan bayaran premium pemilikan tanah di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Dasar Permohonan Rayuan Pengurangan Premium itu adalah berdasarkan syor oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak untuk diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

“Kerajaan Negeri memahami dan sentiasa prihatin kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan untuk membayar kadar premium tanah yang tinggi.

“Oleh itu, PTG Perak telah mengeluarkan Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Perak Bil. 3 tahun 2020 berkaitan dengan Dasar Permohonan Rayuan Pengurangan Premium,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ong Boon Piow (PH-Bercham) mengenai sama ada pihak kerajaan negeri akan menawarkan pembayaran premium pembaharuan geran tanah secara ansuran agar golongan miskin mampu menjelaskan premium yang tinggi walaupun telah diberi diskaun.

Saarani berkata kaedah pembayaran premium secara ansuran tidak dilaksanakan kerana bayaran itu adalah bersifat ‘one off’ untuk membolehkan hak milik didaftarkan dan tempoh bayaran premium ditetapkan ialah tiga bulan dari tarikh Notis 5A dikeluarkan dan boleh memohon pelanjutan tempoh tiga bulan lagi.

“Butiran Notis 5A bagi tujuan pembayaran premium adalah meliputi Cukai Tahun Pertama, Bayaran Ukur, Tanda Sempadan dan bayaran pendaftaran hak milik. Kegagalan untuk menyempurnakan bayaran Notis 5A mengikut tempoh yang ditetapkan boleh mengakibatkan kelulusan pemberimilikan oleh Pihak Berkuasa Negeri luput serta-merta,” katanya.

Katanya kerajaan negeri turut memahami keluh-kesah rakyat berkaitan tempoh menunggu yang lama bagi proses kelulusan pemberimilikan tanah, pembaharuan geran, kebenaran penukaran pemilikan tanah dan sebagainya.

Oleh itu, beliau berkata PTG telah membuat penambahbaikan proses-proses pembangunan seperti Tukar Syarat Dan Pecah Sempadan Serentak (Seksyen 124A), Serah Balik Dan Beri Milik Semula (Seksyen 204A-H) dan Pecah Sempadan (Seksyen 136).

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memberi penurunan kuasa daripada Pihak Berkuasa Negeri kepada Pengarah Tanah Galian dan Pentadbir Tanah bagi urusan-urusan tertentu. Penambahbaikan ini telah memendekkan tempoh untuk memproses permohonan di antara 20 ke 30 hari berbanding tempoh lebih panjang sebelum ini,” katanya — BERNAMA

Semoga bantuan dan inisiatif dari kerajaan ini dapat kita manfaatkan sepenuhnya terutama kepada golongan sasaran. Kita berharap inisiatif seperti ini juga dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain di Malaysia.