Cara Sambung Belajar Ke Luar Negara Lepasan STPM

Cara sambung pengajian ke luar negara untuk lepasan STPM

Anda pernah tak teringin nak sambung pengajian di luar negara selepas tamat Tingkatan 6.

Jika anda memiliki Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM), anda memang bertuah kerana ia boleh menjadi tiket untuk anda diterima belajar di luar negara.

STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education.

Selain itu, ia juga diiktiraf oleh seluruh universiti awam di negara kita malah di lebih 2,000 universiti seluruh dunia!

READ: Cara Pilih Subjek STPM & Halatuju Selepas Tingkatan 6 Nanti

Jadi, dengan kelayakan STPM, anda boleh pilih untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam Malaysia, luar negara seperti Amerika Syarikat, negara Timur Tengah, dan semua negara Komanwel.

Hebat tak hebat sijil STPM ni.

Jadi, bagi anda yang nak sambung pengajian di luar negara, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan dan perlu pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan.

1. Hadiri program penerangan pengajian di luar negara di sekolah anda

Menghadiri program taklimat pengajian luar negara di sekolah ataupun Kolej Tingkatan Enam adalah langkah pertama untuk mendedahkan diri anda kepada dunia pengajian di luar negra.

Pengisian dalam program ini biasanya menyediakan maklumat tentang pilihan pengajian di luar negara, kelayakan akademik, kewangan, dan akan membantu pelajar dengan proses membuat keputusan.

2. Pergi ke pameran belajar di luar negara

Pameran belajar di luar negara akan memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap secara langsung dengan agen penyedia dan pertukaran universiti.

Selain itu, pihak pengurusan pengajian di luar negara juga akan cuba untuk membantu dan menjawab sebarang soalan yang anda tanyakan untuk membimbing anda melalui proses pengajian di luar negara.

3. Hubungi pusat pengajian pilihan anda di luar negara

Cara untuk menghubungi universiti di luar negara terdapat dalam beberapa kaedah, salah satunya melalui laman web rasmi universiti. Melalui laman web universiti, anda boleh dapatkan maklumat mengenai pilihan program yang ditawarkan dan sebagainya.

4. Menyertai Program Pertukaran Pelajar ataupun ‘Student Exchange Programme’ di Universiti

Setelah habis STPM, anda perlu masuk dahulu ke IPTA di Malaysia kemudian barulah anda boleh mengikuti program ini.

Program Pertukaran Pelajar ialah program yang membolehkan anda menghabiskan satu atau dua semester di universiti di luar negara dan mengambil kursus dalam semester biasa dengan peluang pemindahan kredit.

5. Selidik syarat minimum kemasukan universiti antarabangsa

Pelajar wajib tahu apakah syarat kemasukan yang universiti di luar negara tetapkan supaya boleh diterima masuk.

Setiap universiti mempunyai syarat kemasukan dan kelayakan yang berbeza.

Sebagai contoh, Monash University di Australia dan University of Manchester di United Kingdom mempunyai syarat kemasukan dan kelayakan yang berbeza bagi Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran.

5. Pertimbangkan kos yuran pengajian di luar negara

Kos pengajian dan kos untuk sara diri di luar negara pastinya tidak murah.

Jadi, anda perlu mendapatkan segala maklumat yang lengkap sebelum memohon dan menerima sebarang tawaran belajar di universiti luar negara.

Anda juga perlu mencari tahu tentang tawaran biasiswa ataupun apa-apa bantuan kewangan yang mungkin boleh anda mohon untuk dapatkan.

6. Pastikan memilih universiti yang diiktiraf oleh MQA

Untuk mengelakkan sebarang penipuan ataupun di ‘scam’, anda perlu pastikan bahawa sijil dan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian luar negara tersebut benar-benar diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

Sekiranya sijil dan kursus anda tidak diiktiraf oleh MQA, anda mungkin sukar untuk memohon pekerjaan di Malaysia terutama dalam sektor awam kerana sijil anda tidak diiktiraf.

Jadi, sebab itu pentingnya memilih universiti luar negara yang diikitiraf oleh MQA, barulah sijil anda tetap laku di Malaysia.

Anda boleh semak pengiktirafan universiti di laman web berikut:

MQA:  https://www2.mqa.gov.my/esisraf/kelayakan.cfm

Demikianlah beberapa pendedahan awal yang anda boleh pertimbangkan untuk membuat keputusan belajar di luar negara. Belajar di luar negara adalah satu pengalaman yang berbeza, jadi ambillah peluang ini untuk mengembara ke seluruh dunia!