Peluang Belajar Lepasan SPM Yang Gagal Atau Tanpa SPM

Peluang belajar lepasan SPM yang gagal atau tanpa sijil SPM. Bolehkah gagal SPM boleh sambung belajar?Tentu sekali boleh.

SPM bukan penentu masa hidup dan gagal dalam peperiksaan SPM bukanlah bermakna pengakhiran dalam hidup.

Anda masih boleh sambung belajar tanpa sijil SPM.

Ini memang benar kerana masih ada banyak peluang lain yang terbuka untuk anda.

Pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM masih boleh menyambung belajar dengan jalan lain jika anda tidak ditawarkan untuk matrikulasi, ataupun asasi di universiti awam.

Kali ini kita cuba lihat peluang belajar lepasan SPM yang gagal atau tanpa sijil tersebut.

Berikut merupakan beberapa haluan yang boleh dipilih oleh pelajar.

1. GIATMARA

Pelajar yang gagal SPM turut mempunyai pilihan meneruskan pengajian dengan mengambil kursus di Giatmara.

Giatmara menawarkan kursus dan latihan kemahiran kepada para pelajar dan kebanyakan kursus melibatkan kemahiran seperti mekanik, elektrik dan pertukangan.

Antara syarat memasuki Giatmara ialah merupakan bumiputera, bertubuh sihat, boleh membaca, menulis dan mengira, dan mempunyai minat dalam kursus yang dimohon.

Para pelajar boleh mengemukakan permohonan atas talian di portal Giat Mara. Pelajar boleh memilih sama ade membuat pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa.

Berikut merupakan maklumat perhubungan Giatmara. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan di sini.

Alamat: GIATMARA Sendirian Berhad No 39, Jalan Medan Tuanku, 50300 Kuala Lumpur. Malaysia
Tel: 03-2691 2690
Emel: webmaster@giatmara.edu.m

2. Program Kemahiran Malaysia

Para pelajar yang kurang berminat pada bahagian akademik, yang lebih berminat kemahiran turut boleh memohon program kemahiran malaysia.

Kursus yang ditawarkan agak pendek dan mengikut tahap, biasanyan dalam 6 bulan ke 18 bulan sahaja.

Jika dibandingkan kos stpm/ diploma atau matrikulasi, kos program kemahiran malaysia agak lebih rendah.

Kini, lebih banyak industri di Malaysia mengambil tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Para pelajar turut akan memperoleh elaun sepanjang program pengajian ini. Terdapat beberapa pusat yang menawarkan kursus ini.

Antaranya ialah PLP Skill Institut Melaka, Skill College of Industrial Technologies Muar, SG Academy Kuala Lumpur serta Kolej Mighty Skill Seremban.

Sebenarnya ada banyak institut pengajian lain lagi yang menawarkan kursus kemahiran. Ini trend pasaran kerja sekarang ini.

3. MQA APEL A

Pelajar lepasan SPM yang gagal boleh mempunyai peluang untuk masuk ke universiti dengan lulus sijil Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) A.

APEL ini menyediakan peluang kepada mereka yang memiliki pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan untuk menyambung pelajaran di IPT.

Syarat utama MQA APEL ialah umur. Berikut merupakan syarat umur minina bagi laluan pengajian berlainan.

  • Program Sijil (APEL T-3)- 19 tahun.
  • Diploma (APEL T-4)- 20 tahun
  • Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6)- 21 tahun
  • Ijazah Sarjana (APEL T-7)- 30 tahun.

Pelajar berminat boleh membuat permohonan untuk menduduki peperiksaan kepada MQA.

Anda perlu membuat pembayaran dan akan menerima nombor rujukan pendaftaran daripada MQA.

Para pemohon akan dinilai melalui penghantaran portfolio dan ujian aptitud Pemohon akan menerima keputusan sama ada berjaya atau tidak.

Setelah lulus dalam MQA, anda akan mendapat sijil APEL (MQA) yang membolehkan anda menuntut pengajian di mana- mana IPT di Malaysia.

4. Mengambil SPM Ulangan / Persendirian

Para pelajar turut boleh menduduki untuk peperiksaan SPM balik. Anda tidak perlu menduduki kesemua kertas, malah hanya mata pelajaran yang wajib lulus, serta mana- mana matapelajaran dipilih.

Permohonan untuk SPM ulangan boleh dilakukan di laman web sppat.moe.gov.my.

Calon boleh mengisi borang permohonan serta memilih senarai mata pelajaran yang ingin diambil di laman web diberikan.

Pastikan maklumat seperti kad pengenalan, tahun peperiksaan serta angka giliran adalah milik anda.

Yuran peperiksaan akan dipaparkan dan anda boleh melakukan pembayaran melalui kaedah perbankan elektronik setelah berjaya melakukan pendaftaran.

Para pelajar yang lulus dalam SPM ulangan boleh memohon masuk ke matrikulasi / diploma / asasi atau mana- mana program pengajian mengikut minat di mana mana IPT di dalam dan luar negara.

Jika anda gagal dalam peperiksaan dan tidak berpeluang sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, anda masih punya banyak pilihan untuk pilih.

Janganlah berputus asa, mungkin reziki anda untuk belajar ilmu kemahiran. Ramai majikan kini yang lebih mementingkan atau berminat dengan individu yang berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu berbanding pencapaian akademik.

Individu yang berkemahiran biasanya mempunyai pengalaman kerja untuk kerja-kerja tertentu berbanding dengan individu yang baru menghabiskan pengajian di universiti.