Permohonan Jururawat Lepasan SPM Pelajar Malaysia

Permohonan Jururawat Lepasan SPM. Adakah anda berminat menjadi jururawat? Memang ramai pelajar teringin untuk ambil kursus ini dan seterusnya kerja sebagai jururawat.

Adakah anda tahu bagaimana untuk memohon?

Terdapat beberapa cara yang boleh dipilih untuk menjadi jururawat sama ada dengan memohon program latihan separa perubatan di bawah kerajaan (KKM), atau dengan memohon Diploma Kejururawatan di IPTA atau IPTS.

Kali ini kita nak kongsi sedikit maklumat umum mengenai program latihan separa perubatan (jururawat) di bawah kerajaan.

Program latihan separa perubatan ini bertaraf diploma. Yang paling menarik ialah para pelatih akan menerima elaun setiap bulan dan boleh menjalankan latihan separa perubatan di kemudahan yang kondusif disediakan oleh kerajaan.

Setelah menamatkan program ini, pelatih boleh bekerja sebagai jururawat penjawat awam di bawah klinik kesihatan atau hospital kerajaan sama ada melalui pelantikan tetap atau kontrak

Tempoh Program Latihan Separa Perubatan

Pengambilan calon untuk Latihan Separa Perubatan (Jururawat) akan dibuka dua kali setahun, iaitu bagi sesi kemasukan Januari dan Julai tertakluk kepada perubahan dari masa ke semasa.

Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) untuk menjalankan latihan ini selama 3 tahun.

Syarat Kelayakan Memohon

Terdapat beberapa syarat kelayakan yang diletakkan bagi permohonan Latihan Separa Perubatan (jururawat).

Calon wajib memenuhi segala syarat tersenarai di bawah untuk melayakkan diri bagi peringkat seterusnya.

  • Calon mesti berwarganegara Malaysia.
  • Calon mesti lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf yang diiktiraf oleh kerajaan.
  • Calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya Gred C (kepujian) dalam mata pelajaran bahasa Melayu, Matematik, salah satu subjek Sains (Sains/ Sains Gunaan/ Fizik/ Kimia/ Biologi), dua subjek lain serta lulus dengan Gred D dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
  • Calon berumur tidak kurang daripada 17 tahun dan tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan.

Cara Memohon

Permohonan untuk program latihan separa perubatan (jururawat) boleh dilakukan secara atas talian sahaja di portal SPA9.

Calon tidak perlu menghantar sebarang dokumen atau resume kepada pihak SPA.

Seterusnya, tempoh sah laku bagi permohonan di SPA ialah selama setahun.

Calon disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga sebelum berjaya ditempatkan di mana-mana ILKKM.

Tempat Latihan

Terdapat beberapa institut latihan terdapat di Malaysia khusus untuk melatih calon terpilih.

Berikut merupkaan senarai tempat latihan bagi program latihan separa perubatan jururawat.

  • Institut Latihan KKM Batu Pahat (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Johor Bahru
  • Institut Latihan KKM Kubang Kerian (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Sibu (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Kota Kinabalu
  • Institut Latihan KKM Kangar (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Kuching
  • Institut Latihan KKM Tawau (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Sultan Azlan Shah
  • Institut Latihan KKM Alor Setar (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Bertam (Kejururawatan)
  • Institut Latihan KKM Kuala Pilah (Kejururawatan)

Jururawat Gred U29

Pelatih boleh memohon untuk jawatan Jururawat Gred U29 setelah menamatkan Program Latihan Separa Perubatan bertaraf diploma selama tiga tahun.

Jawatan ini boleh dipohon di portal SPA sahaja.

Antara deskripsi tugas yang diagihkan untuk jawatan ini ialah penjagaan pesakit, membantu doktor dalam menjalankan ujian dan mendiagnosis jenis penyakit, menyimpan laporan kemajuan pesakit, membuat pesanan bekalan peralatan, mengajar pesakit mengenai senaman yang perlu dilakukan dan menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pegawai atasan.

Gaji minima yang ditawarkan bagi jawatan ini ialah RM 1797 manakala gaji maksimum ditawarkan ialah RM 5753.

Kadar kenaikan gaji per tahun ialah sebanyak RM 145. Elaun- elaun tambahan akan turut diberikan bagi jawatan ini.

Mungkin sebab itulah ramai pelajar kita bercita-cita ingin menjadi jururawat. Kerja mulia dan terpuji dan jaminan kerja tetap masa depan.

Semoga sedikit informasi mengenai cara permohonan jururawat lepasan SPM ini bermanfaat kepada anda. Kepada yang memohon All The Best!