Pengeluaran KWSP Untuk Rumah Sendiri Menggunakan Simpanan KWSP Akaun 2, Bagaimana Caranya?

Tahukah anda, KWSP boleh dikeluarkan untuk tujuan beli rumah. Anda boleh gunakan KWSP Akaun 2. Tunggu, sebelum itu ketahui sedikit sebanyak mengenai KWSP.

Wajib Tahu Apa itu KWSP!

Pada tahun 1991, Kerajaan telah melancarkan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu cara penyimpanan wang pekerja dan sebagai persediaan persaraan mereka di hari tua.

Pada hari tua nanti, kita pun sudah tidak larat dan tidak mampu untuk bekerja, jadi duit simpanan KWSP inilah yang akan membantu anda setelah pencen.

Tahukah anda bahawa simpanan KWSP adalah hak bagi seluruh pekerja. Setiap majikan wajib untuk buat bayaran caruman KWSP kepada para pekerja mereka.

Majikan boleh didakwa kalau tidak berbuat demikian, hak anda sebagai pekerja pula, anda layak dapatkan semula jumlah caruman yang anda sepatutnya terima.

READ: Pengeluaran KWSP Untuk Pendidikan

KWSP terbahagi kepada dua iaitu Akaun 1 dan Akaun 2. Nak tahu tentang kedua-dua akaun KWSP tersebut? Jom baca lebih lanjut!

Apa itu KWSP Akaun 1 dan Akaun 2?

Akaun 1 ialah 70% daripada caruman bulanan daripada majikan, manakala Akaun 2 pula ialah 30% daripadanya.

Dah banyak duit simpanan KWSP, bolehkah anda keluarkannya pada bila-bila masa?

Memang duit tersebut duit anda, tetapi anda tidak boleh keluarkannya sesuka hati.

Jika anda nak keluarkan duit dari Akaun 1, anda mestilah mencapai umur 55 tahun terlebih dahulu, selepas itu barulah anda boleh keluarkan.

Tetapi ada suatu keadaan di mana anda boleh gunakan duit dari Akaun 1 walaupun umur anda belum mencapai 55 tahun iaitu apabila anda nak menggunakan duit tersebut untuk tujuan pelaburan dalam Unit Amanah atau mana-mana unit pelaburan yang dibenarkan KWSP.

Dalam kes ini anda dibenarkan.

Bagaimana pula dengan Akaun 2?

READ: Pengeluaran KWSP Untuk Ubahsuai Rumah?

Untuk pengetahuan anda, jika anda mempunyai keperluan untuk menampung pembiayaan pendidikan, pembiayaan belian rumah, perubatan, dan melangsaikan hutang PTPTN, anda bolehlah gunakan Akaun 2 ini.

Syarat dan cara pengeluaran KWSP untuk beli rumah

Gunakan Akaun 2 KWSP Untuk Pembiayaan Rumah

Setelah lama bekerja dan usia pun semakin meningkat, mestilah anda berhasrat nak ada rumah sendiri kan?

Mungkin selama ini anda sudah terlalu lama hidup menyewa ataupun masih tinggal dengan ibu bapa anda, jadi sudah tiba masanya untuk anda memiliki rumah sendiri yang lebih baik.

Tapi yang paling penting adalah, anda ada rumah sendiri sebagai tempat perlindungan setelah pencen.

Nak tahu apa syarat kelayakan untuk memohon dan syarat pengeluaran Akaun 2? Jom baca lebih lanjut!

Syarat Kelayakan Memohon Pengeluaran Simpanan Akaun 2:

  1. Syarat utama ialah anda mestilah ahli yang bertaraf Warganegara Malaysia bukan warganegara.
  2. Anda layak memohon sekiranya pada tarikh anda memohon, anda belum mencapai umur 55 tahun.
  3. Baki dalam simpanan Akaun 2 anda perlu ada sekurang-kurangnya RM500. Barulah anda layak mohon.

Syarat Pengeluaran Simpanan Akaun 2 Untuk Beli Rumah

1. Anda boleh membuat pengeluaran sekiranya bertujuan untuk membeli rumah atau membina sebuah rumah kediaman jenis berikut:-

  • Rumah banglo
  • Rumah teres
  • Rumah berkembar
  • Apartment
  • kondominium
  • Service apartment
  • Studio apartment
  • Townhouse
  • SOHO
  • Rumah kedai dengan unit kediaman

2. Anda mestilah membuat pinjaman perumahan dengan tujuan membeli atau membina rumah daripada institusi yang dibenarkan sahaja. Jadi anda tidak boleh membelanjankan duit tersebut untuk tujuan lain ya! Antara institusi pemberi pinjaman yang dibenarkan adalah seperti berikut:-

  • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
  • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan
  • Majikan ahli
  • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
  • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia
  • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP; ATAU
  • Secara tunai

3. Para tarikh permohonan anda diterima KWSP, pastikan Surat Perjanjian Jual Beli anda tidak melebihi 3 tahun.

4. Anda mestilah tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan; ATAU telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah pertama dan telah menjualnya atau melupuskan pemilikan dan kemudian membeli rumah kedua.

5. Jika anda ingin membeli rumah yang telah diperolehi secara sewa beli, ia mestilah daripada pihak yang dibenarkan oleh KWSP.

6. Syarat seterusnya, anda membina rumah di atas tanah yang anda beli dengan serentak secara pakej iaitu tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah
hendaklah dalam tempoh 6 bulan. Jadi, anda kenalah patuhi masa yang ditetapkan untuk elakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Situasi Yang Tidak Melayakkan Permohonan Pengeluaran Simpanan Akaun 2 Diterima

  1. Permohonan tidak akan diterima sekiranya anda hanya ingin membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja. Maksudnya anda wajib mendirikan rumah sekali, kalau tidak, tak dapatlah.
  2. Jika anda berhasrat nak gunakan simpanan Akaun 2 hanya untuk mengubahsuai, membaiki, atau membuat kerja-kerja tambahan terhadap rumah anda yang sedia ada, maka permohonan anda tidak layak diterima.
  3. Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli.
  4. Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf. Maksudnya, anda tidak boleh membuat pinjaman wang yang melebihi jumlah baki dalam akaun anda.
  5. Nak keluarkan simpanan Akaun 2 untuk membeli rumah ketiga? Anda tidak boleh berbuat demikian, kerana pengeluaran ini hanya dibenarkan untuk membuat rumah kali pertama sahaja. Jadi jika anda nak berbuat demikian, permohonan pengeluaran anda tidak akan diterima.
  6. Bagaimana pula kalau nak gunakan duit simpanan Akaun 2 untuk beli rumah di luar negara? Jawapannya sama, iaitu tidak boleh!

Jumlah Simpanan Yang Layak Dikeluarkan

Berapa jumlah yang anda boleh keluarkan adalah bergantung terhadap beberapa jenis pembelian rumah.

1. Pembelian rumah oleh individu

  • Anda boleh membuat pengiraan sendiri dengan menghitung beza antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah yang anda nak beli. ATAU
  • Anda juga boleh keluarkan semua simpanan dalam Akaun 2 anda.

2. Pembelian bersama ahli keluarga terdekat atau individu lain

  • Anda boleh membuat pengiraan sendiri dengan menghitung beza antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah yang anda nak beli. ATAU
  • Anda juga boleh keluarkan semua simpanan dalam Akaun 2 masing-masing. Tetapi anda harus ingat juga, bahawa ia tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan.

3. Pinjaman perumahan 100%

  • Bagi jenis pinjaman ini, anda layak mengeluarkan sebanyak 10% daripada harga rumah anda. ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2 anda.

4. Pembelian tanpa pinjaman/secara tunai

  • Jika anda nak beli rumah secara tunai, tak nak buat pinjaman pun boleh. Anda layak keluarkan wang daripada simpanan mengikut harga rumah dan tambahan 10% daripada harga rumah yang anda beli. ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2 anda.

Dokumen Utama Untuk Keluarkan Simpanan Akaun 2

Nak buat pengeluaran wang yang besar tak boleh sesuka hati tau!

Perlu ada proses dan prosedur yang perlu diikut untuk elakkan sebarang masalah nanti. Mari lihat senarai dokumen utama yang anda perlukan.

  1. Pertama sekali, anda mestilah mengisi Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL) (D5).
  2. Wajib bawa bersama Kad Pengenalan Diri. Anda pun tahu kan, segala jenis urusan sekarang ni pasti memerlukan pengesahan MyKad. Kalau anda bukan warganegara, pastikan bawa pasport anda.
  3. Sertakan maklumat akaun bank anda, sama ada buku bank / penyata akaun simpanan ATAU penyata akaun semasa ATAU surat pengesahan bank mengenai butiran pemegang akaun ATAU cetakan butiran pemegang akaun melalui laman web.
  4. Jika anda membuat permohonan secara pos atau pun pengecaman cap jari anda gagal di kaunter, anda perlukan Borang KWSP 3 (pindaan).

Dokumen Sokongan

Bagi dokumen sokongan pula, anda perlu merujuk sendiri Senarai Semak Dokumen Pengeluaran Membeli Rumah di laman web KWSP atau pejabat KWSP untuk semua dokumen yang diperlukan.

Kesimpulannya, jika anda nak menggunakan duit simpanan KWSP atau membuat pinjaman pada usia yang lebih muda untuk tujuan membeli rumah sendiri, anda boleh terus berhubung dengan pihak KWSP secara langsung untuk urusan yang lebih lancar.

Tapi anda perlu tahu dahulu apa syarat kelayakan dan permohonannya, kalau anda rasa layak bolehlah teruskan dengan perancangan anda yang seterusnya. KWSP dah berikan kemudahan untuk anda, jadi manfaatkanlah dengan sebaiknya.