Pengenalan Permohonan TVET Secara Online Kini Ikut Saluran Tunggal

Adakah anda berminat untuk memohon program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional)?

Kami ada satu berita baik untuk anda!

Bermula 30 Oktober ini, segala permohonan untuk program TVET akan dipermudahkan melalui satu saluran permohonan tunggal.

Langkah ini bukan sahaja sangat efektif malah turut memudahkan proses permohonan bagi para pelajar yang berminat berdaftar.

Sumber: Utusan Malaysia

READ: Senarai 10 Program Ijazah Paling Cepat Dapat Kerja

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan keputusan ini selepas mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknologi dan Vokasional Negara (MTVET) baru-baru ini.

Penyediaan saluran permohonan tunggal bertujuan untuk menyelaraskan segala proses penerimaan pelajar ke dalam 1334 pusat latihan TVET di seluruh Malaysia.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyatakan hasratnya untuk memastikan kursus-kursus ditawarkan dalam program TVET selaras dengan perkembangan teknologi tinggi.

Ini termasuk bidang tenaga diperbaharui dan keperluan tenaga asing yang berkaitan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Tambahan pula, pihak Sekretariat TVET diarahkan untuk menyusun pelan hala tuju yang akan menterjemahkan dasar TVET dari 1.0 hingga 2030, serta dasar TVET 2.0 menjelang tahun 2050.

Cara permohonan

Para pemohon yang berminat boleh membuat permohonan serta mendapatkan tawaran latihan TVET melalui portal Unit Pengambilan TVET UP_TVET

Menerusi saluran ini, para pelajar boleh memilih kursus TVET serta pusat latihan mengikut minat masing-masing.

Inisiatif ini turut bantu mengelakkan segala pertindihan dan ketidakseragaman dalam proses permohonan.

Kepentingan Pengenalan Saluran Tunggal

Salah satu kepentingan utama penyelarasan ini adalah untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi para graduan TVET, yang kini mencapai lebih daripada 92 peratus.

Dengan kata lain, ini bermakna graduan TVET memiliki nilai kebolehpasaran yang sangat tinggi.

Kerajaan berpendapat bahawa TVET harus diberikan keutamaan sebagai pilihan utama dalam menangani isu keciciran sekolah dan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Oleh sebab itu, pendidikan vokasional dan teknikal perlu menjadi pilihan utama bagi para pelajar untuk memperoleh kemahiran dan peluang pekerjaan yang baik.

Seterusnya, kerajaan juga akan melaksanakan beberapa inisiatif proaktif, termasuk penubuhan dana pembiayaan untuk latihan TVET.

Semua ini bantu memajukan bidang pendidikan vokasional dan teknikal di Malaysia dan memberikan peluang lebih besar kepada generasi muda untuk berjaya dalam kerjaya mereka.