Tanda Tilam Ada Pepijat Dan Cara Mengatasinya

Katil anda adalah tempat dimana anda boleh berehat dan tidur dengan nyenyak. Tapi adakah anda yakin tempat tidur anda bebas daripada kutu hama atau pepijat? Kutu hama adalah makhluk yang sangat kecil dan memang sukar untuk dilihat oleh mata kasar.

Kecil bukan sebarang kecil, ia boleh menggigit kulit anda dan menyebabkan gatal-gatal pada kulit.

READ: 5 Jenama Cadar Cotton Terbaik & Popular Di Malaysia

Tanda Kehadiran Pepijat Di Tilam

Makhluk kecil ini memang sukar dilihat, tapi anda boleh tahu kewujudan pepijat ini di tilam anda sekiranya anda melihat beberapa petujuk berikut:

  1. Kesan Gigitan Pada Kulit

Pernah tak anda rasa gatal-gatal pada kulit apabila anda baring di tilam anda? Ini boleh menjadi salah satu tanda bahawa di tilam anda wujud kutu hama.

Anda akan mengalami ruam merah kecil pada bahagian badan yang bersentuhan dengan tilam contohnya pada lengan atau kaki.

2. Kesan Darah Pada Tilam

Kutu hama boleh meninggalkan kotoran seperti tompokan darah kecil pada cadar tilam ataupun pada tilam anda.

Kotoran ini boleh menjadi jejak kutu hama menyerang katil anda.

3. Kotoran Hitam

Kutu hama biasanya meninggalkan sisa kotoran mereka pada bahagian tepi tilam anda.

Anda akan melihat banyak kotoran hitam kecil dan makhluk ini juga bersarang dan membiak di bahagian tersebut.

4. Tilam Mula Rosak

Pepijat bukan menyerang kulit manusia sahaja, tapi makhluk kecil ini juga merosakkan bahan tilam anda sedikit demi sedikit.

Anda akan melihat tilam anda mempunyai banyak bintik-bintik merah, hitam, kuning, kemudian warna tilam anda pun akan mula berubah.

5. Tidur Malam Tidak Selesa

Untuk pengetahuan anda, pepijat lebih aktif pada waktu malam dan akan menggigit anda ketika sedang tidur.

Sekiranya anda merasa terganggu dengan gigitan kecil pada waktu malam, boleh jadi anda terkena gigitan kutu hama.

6. Pergerakan Pepijat

Tidak mustahil untuk melihat makhluk yang kecil ini, jika anda melihat sesuatu bergerak di tilam anda berbentuk binatang kecil yang bergerak cepat dan berwarna pucat, ia adalah kutu hama yang menggigit anda selama ini dan mengganggu keselesaan tidur anda.

Jika anda mendapati bahawa tilam anda mempunyai petunjuk-petunjuk di atas, penting untuk bertindak segera supaya kutu hama tidak membiak lebih banyak di tilam anda.

Cara Mengatasi Pepijat Di Tilam Anda

Berikut adalah beberapa tindakan yang anda boleh lakukan untuk mencegah pepijat:

A. Kenal Pasti Tempat Utama Pepijat Bersarang

Anda perlu mencari tahu tempat kutu hama ini tinggal dan bertelur.

Ia sering berada di bahagian tepi lipatan jahitan tilam anda, di belah dalam bucu cadar anda, bantal, perabot, dan kawasan lain yang menjadi sarang kutu hama.

B. Cuci Tekstil

Anda perlu kerap mencuci cadar, sarung bantal, baju tidur, dan apa-apa tekstil yang boleh dicuci.

Untuk lebih berkesan, cuci dengan menggunakan sabun dan air panas supaya boleh membunuh pepijat dan telur-telur mereka.

C. Vakum Tilam

Takkan nak cuci tilam yang tebal tu jugak? Tak perlu, apa yang anda boleh lakukan adalah dengan memvakum tilam anda terutama di bahagian yang dicurigai menjadi tempat tinggal kutu hama.

Selepas dah vakum, segera buang sampah dari vakum anda ataupun letakkan di dalam plastik supaya kutu hama tidak terlepas keluar.

D. Bungkus Tilam Anda

Pastikan anda bungkus tilam anda dengan penutup yang dibuat khas supaya tidak didatangi kutu hama.

Gunakan penutup yang boleh menghalang masuk  kutu hama.

E. Gunakan Semburan Pesticides

Suatu masa jika masalah kutu hama di tilam anda sudah teruk, anda mungkin perlu menggunakan semburan racun perosak atau pesticides.

Pastikan anda berhati-hati ketika menggunakan bahan kimia ini, ikuti arahan penggunaan, dan pastikan ia selamat digunakan dalam persekitaran rumah.

F. Hubungi Pakar

Anda mungkin telah melakukan semua cara di atas untuk menghapuskan kutu hama tetapi masih tidak berjaya, anda boleh mengambil alternatif lain dengan menghubungi pakar pengawal kutu hama.

Mereka boleh memberikan rawatan profesional yang lebih kuat untuk menangani kutu hama.

Jadi, anda perlu sentiasa beringat bahawa masalah kutu hama ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah kerana ia akan mempengaruhi kebersihan tilam, kesihatan kulit, dan keselesaan tidur anda. Penting untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mencegah kutu hama.