Tips Untuk Berjaya Semasa Internship

Internship adalah salah satu cara paling berkesan bagi bakal graduan untuk mendapatkan pengalaman bekerja dan membina rangkaian sosial dengan orang berkerjaya secara profesional.

Kepada anda di luar sana yang bakal memasuki internship, pastikan anda memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada, ambil sebanyak mungkin pengalaman, dan bina rangkaian profesional anda seluas mungkin.

Internship adalah tempat untuk membiasakan diri anda dengan alam pekerjaan kelak.

Ingin berjaya dalam Internship? Ini tips untuk anda.

  1. Berkenalan Dengan Semua Orang Dalam Organisasi

Semasa anda mula menjalani praktikal di sesebuah organisasi, rajin-rajinlah untuk bertemu dan memperkenalkan diri anda kepada majikan dan pekerja lain yang anda akan bekerjasama.

Jika anda rajin untuk berkomunikasi dengan para pekerja dalam organisasi tersebut, nampaklah bahawa anda seorang yang sangat mesra dan sangat berminat untuk mengambil tahu tentang pelbagai peranan yang terdapat dalam syarikat.

Berkat kemesraan anda, suasa kerja yang mesra pasti akan terwujud sekali gus membantu anda menjalin hubungan yang baik dengan orang sekeliling.

Ingat kemahiran komunikasi sangat penting!

Masa praktikal ni lah peluang anda untuk membina rangkaian dengan orang-orang yang berkerjaya.

2.Tetapkan Matlamat Yang Tetap

Sebelum anda hendak memulakan zaman internship, pastikan anda sudah tahu apakah jangkaan dan harapan penyelia terhadap anda semasa anda menjalani internship.

Tujuannya adalah supaya anda tahu apakah yang harus anda capai setiap hari, setiap minggu mahupun setiap bulan semasa internship anda.

Ia juga akan membantu anda untuk sentiasa mengemas kini buku log harian sepanjang praktikal.

Maklum balas daripada penyelia adalah penting supaya anda sentiasa berada di landasan yang betul dari awal sehinggalah tamat internship.

Jangan lupa matlamat sebenar anda menjalani internship dan ambil peluang sehabis baik untuk perkara yang anda ingin pelajari dengan lebih mendalam.

3. Dapatkan Ilmu Melalui Pemerhatian Dan Pembelajaran

Ketika memasuki alam pekerjaan, adalah penting untuk anda memahami dan bertindak mengikut budaya dalam organisasi.

Apa yang patut anda lakukan adalah sentiasa melihat dan mendapatkan tunjuk ajar daripada rakan sekerja kerana mereka lebih berpengalaman dalam bekerja.

Jangan tertumpu hanya kepada satu tugas sahaja, cuba ambil tahu tentang apakah rutin harian organisasi, ataupun rutin harian pekerja, banyakkan membaca bahan organisasi, polisi, prosedur syarikat, dan sebagainya.

Jika anda berpeluang, cuba untuk meminta keizinan menghadiri mesyuarat supaya anda boleh mempelajari serba sedikit tentang selok-belok perniagaan syarikat anda.

Banyakkan peluang yang boleh anda dapat. Pastikan anda memanfaatkan peluang sebaik mungkin ya!

4. Kekalkan Sikap Positif Dalam Diri

Pengawalan emosi sangat penting ketika di tempat kerja, walaupun kadang-kadang anda merasakan kerja yang diberikan oleh majikan tidak berkaitan dengan bidang anda ataupun tidak sesuai dengan apa yang anda harapkan.

Jangan berputus asa kerana semuanya tidaklah seburuk yang anda fikirkan.

Jadi, teruskan percaya diri dan laukan yang terbaik! Jadikan zaman internship anda sebagai tempat mencari pengalaman dan sentiasa berusaha untuk membangunkan kemahiran.

5. Laksanakan Peranan Dengan Sepenuh Hati

Internship di tempat kerja memang hanya mengambil masa yang singkat, tetapi dalam masa yang singkat inilah anda harus menghargainya dengan menjalankan peranan dan tanggungjawab anda sehabis baik.

Sebagai seorang pelajar dan pekerja yang berterima kasih kepada majikan, tunjukkanlah sikap bahawa anda sangat mengambil berat terhadap reputasi syarikat dan mahu bekerja bersungguh-sungguh tidak kira apa pun tugasan yang diberikan.

6. Buat Refleksi Sepanjang Internship

Sepanjang internship pastikan anda meminta penyelia, rakan sekerja ataupun majikan untuk membuat maklum balas tentang prestasi anda sepanjang bekerja, jadi anda boleh tahu tentang prestasi kerja yang anda lakukan sama ada memuaskan ataupun memerlukan penambahbaikan.

Kenal pasti segala pencapaian dan kemahiran yang telah anda kuasai sepanjang praktikal untuk dikemas kini di dalam resume.

Tentunya berguna semasa menghadiri sesi temuduga kerja kelak.

Pengalaman tetap berharga walaupun kadang-kadang anda merasa bahawa bidang kerjaya tersebut tidak sesuai dengan diri anda.

7. Dapatkan Surat Sokongan Kerja Dari Majikan

Pada akhir internship, jangan lupa untuk meminta surat cadangan daripda majikan. Surat cadangan ini sangat berguna ketika anda hendak memohon jawatan sepenuh masa di mana-mana syarikat.

Kenapa surat cadangan penting? Surat cadangan inilah yang akan menjadi bukti prestasi anda yang baik selama bekerja kepada bakal majikan baru ataupun pensyarah anda.

Bakal majikan dan pensyarah akan memperoleh kepercayaan terhadap anda melalui surat sokongan tersebut. Jadi jangan pandang ringan tentang surat sokongan ini!

Masa internship sememangnya memerlukan banyak usaha keras daripada anda. Tapi tidak bermakna anda tidak boleh menikmati masa perjalanan anda melakukannya.

Anda juga pasti sedar bahawa peluang seperti ini tidak akan datang banyak kali, jadi cubalah nikmatinya sebaik mungkin dan ciptalah sebanyak mungkin penglaman berguna.

Jangan segan untuk berkawan walaupun mungkin rakan sekerja agak berumur daripada anda, tetapi orang sekeliling seperti merekalah yang terbaik untuk mebantu kita membina masa depan yang lebih cerah.

Terokai minat dan buat kerja sehabis baik anda!

Ia bukan setakat dapat membantu syarikat, tapi ia juga membantu membina personaliti anda yang lebih profesional.

Apa pun diharapkan yang terbaik untuk masa depan internship anda semua dan diharapkan agar tips-tips tadi bermanfaat untuk anda semua!